SERAMAI 17,000 kakitangan kerajaan lantikan politik di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak akan dihentikan, kata Dr Mahathir Mohamad.
Menurut perdana menteri itu, ia merupakan salah satu cara untuk mengurangkan kos kerajaan sedia ada.
“Kami dapati bahawa 17,000 adalah lantikan politik yang kita perlu hentikan.
“Ada lagi perbelanjaan yang kita sedang kaji untuk kurangkan kos kerajaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, ini kerana pegawai kontrak di bawah kerajaan terdahulu terlalu ramai dan ia perlu ditamatkan.
Namun pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, kakitangan kerajaan yang berpendapatan rendah seperti pemandu tidak akan terkesan dengan pemberhentian itu, sebaliknya akan diberikan dengan jawatan yang sesuai.
“Lantikan politik kita akan tamatkan tetapi ada kes seperti pemandu, mereka bukan lantikan politik, mereka golongan berpendapatan rendah dan ia akan membebankan mereka jika dihentikan serta merta,” katanya. – 16 Mei, 2018.
Komen