JABATAN Imigresen perlu memberi justifikasi pembatalan perjalanan kerana kegagalan berbuat demikian akan dianggap sebagai melanggar hak kebebasan bergerak rakyat, kata Pegerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Razali Ismail.
“Memahami akan kesulitan keadaan semasa dan perkara-perkara yang melibatkan kepentingan negara, Suhakam mengambil kira kepentingan awam dan menasihatkan agar keadaan-keadaan yang memberikan justifikasi larangan perjalanan perlu diberikan, ini bagi menekankan komitmen negara yang telah menempa satu sejarah perubahan,” kata Suhakam dalam satu kenyataan.
Menurut laporan, Jabatan Imigresen menerusi lama Facebook pada awal minggu ini telah mengesahkan bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor dilarang meninggalkan negara.
Najib melalui akaun Twitter beliau mengesahkan perkara tersebut dan berkata akan mematuhi larangan tersebut.
Razali berkata, memandangkan Akta Imigresen 1959/63 tidak memperuntukkan syarat yang menghadkan hak kebebasan bergerak, ia bergantung kepada budi bicara ketua pengarah Imigresen untuk memutuskan hak kebebasan bergerak seseorang.
“Suhakam dengan ini menasihatkan agar undang-undang tersebut disemak semula agar ia selari dengan piawaian antarabangsa.” – 16 Mei, 2018.
Komen