Hutang 1MDB, penyelewengan sebenarnya lebih besar, kata Dr M


The Malaysian Insight

HUTANG 1Malaysian Development Berhad (1MDB) dan duit yang diselewengkan oleh pentadbiran Najib Razak, dan kesalahan yang dilakukan, jauh lebih besar daripada apa yang diketahui ramai sekarang, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata beliau membuat kesimpulan terbaru itu selepas mendapat taklimat daripada pihak polis dan ketua audit negara semalam.

Dr Mahathir berkata semua kesalahan itu akan ditangani dan mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan.

“Saya dah dapat taklimat polis dan ketua audit negara, lebih banyak kesalahan yang dilakukan daripada diketahui umum dan juga oleh saya.

“Jadi kita akan ambil tindakan buat laporan polis dan apabila sampai tahap kita boleh tahan, kita akan tahan yang buat salah ini,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.

Mengenai proses perundangan yang sedang dilakukan di luar negara, Dr Mahathir berkata duit yang diselewengkan itu duit Malaysia dan ia akan dituntut dikembalikan kepada negara.

Dr Mahathir juga menegaskan Najib tidak dikenakan tahanan rumah terkait siasatan 1MDB sebaliknya hanya disekat daripada ke luar negara.

Beliau mengulas perkembangan tindakan yang diambil oleh pentadbirannya berhubung isu rasuah termasuk skandal 1MDB.

Ketua Audit Negara Madinah Mohamad, beberapa jam selepas bertemu Dr Mahathir malam tadi mengumumkan laporan audit 1MDB tidak lagi diklasifikasikan sebagai rahsia.

Semalam, Dr Mahathir memberitahu Wall Street Journal, Najib akan didakwa berhubung penyelewengan dana 1MDB, tuduhan yang beliau nafikan selama jadi perdana menteri. – 16 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen