Saya sudah bebaskan Anwar, kata perdana menteri


The Malaysian Insight

DR Mahathir Mohamad hari ini berkata, beliau telah menunaikan janjinya untuk membebaskan Anwar sekiranya Pakatan Harapan menawan Putrajaya.

Perdana menteri itu berkata ini kerana ada tuduhan yang mengatakan bahawa Anwar telah dipenjarakan kerananya pada masa lalu.

“Sebelum ini orang kata saya yang penjarakan Anwar, sekarang saya bebaskan beliau,” kata Dr Mahathir yang kelihatan gembira pada sidang media hari ini.

Pemimpin berusia 93 tahun itu berkata, buat masa ini Anwar tidak akan terlibat dengan pentadbiran Putrajaya “kerana beliau masih belum menjadi orang kerajaan”.

Dr Mahathir berkata majlis presiden Pakatan Harapan akan menilai kedudukan Anwar selepas pembebasannya.

“Saya berharap untuk mengadakan mesyuarat majlis presiden. Sekiranya ada perubahan, mereka akan tentukan untuk Anwar.”

Anwar yang juga ketua umum PH dibebskan hari ini selepas mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau didakwa atas kesalahan liwat pada 2008. Beliau dibicarakan pada 2010 dan 2011 namun dibebaskan pada 2012.

Pada Mac 2014, keputusan pembebasan itu bagaimanapun berubah dan beliau dipenjarakan selama lima tahun. – 16 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen