Gani Patail dilucut jawatan ketika mahu dakwa Najib, kata Dr Mahathir


The Malaysian Insight

BEKAS peguam negara Abdul Gani Patail sudah sedia untuk mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak apabila beliau kemudiannya dilucutkan dari jawatannya tiga tahun lalu, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata beliau dimaklumkan perkara itu oleh Gani yang bertemu dengannya semalam.

“Beliau dakwa beliau sedang siap sedia untuk dakwa Najib. Pagi itu, beliau dilucutkan jawatannya,” kata Dr Mahathir pada sidang media di Putrajaya.

Gani yang mengetuai pasukan khas penyiasat skandal 1MDB ditamatkan perkhidmatannya pada akhir Julai 2015, dua bulan lebih awal daripada umur layak bersara.

Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa kemudian menjelaskan perkhidmatan Gani, yang menjadi peguam negara sejak 2003, ditamatkan kerana masalah kesihatan – alasan yang kemudiannya mengejutkan Gani sendiri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Nancy Shukri turut menjelaskan Gani kekal sebagai pegawai perundangan dan kehakiman sehingga persaraannya pada awal Oktober 2015.

Tempat Gani sebagai peguam negara digantikan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Apandi Ali yang beberapa bulan selepas itu mengisytiharkan Najib tidak terlibat dengan skandal 1MDB.

Selain Gani, Dr Mahathir semalam mengadakan pertemuan dengan Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun serta beberapa tokoh dalam kehakiman dan pegawai kanan polis, dipercayai berbincang mengenai kedudukan kes 1MDB. – 16 Mei, 2018.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen