KETUA umum PKR Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau tidak ada dendam peribadi terhadap bekas perdana menteri Najib Razak kerana memenjarakannya, tetapi Najib perlu menjawab kepada rakyat Malaysia atas segala perbuatannya.
“Saya maafkan Najib. Tidak ada niat jahat, tetapi isu tentang ketidakadilan terhadap rakyat, beliau perlu menjawab kepada mereka,” kata Anwar pada sidang akhbar di rumahnya di Segambut, Kuala Lumpur, beberapa jam selepas menerima pengampunan diraja dan dibebaskan.
Tentang sama ada Najib akan didakwa kerana jenayah yang didakwa dilakukannya, Anwar berkata rakyat perlu membiarkan siasatan dijalankan.
Najib dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad.
Beliau menafikan terlibat dalam salah laku itu tetapi makluman terbaru mendedahkan ada bukti menunjukkan wang dipindahkan ke akaunnya.
Bekas peguam negara Gani Patail juga mendedahkan beliau sedang bersedia menyediakan kertas pertuduhan untuk mendakwa Najib di mahkamah tetapi perkhidmatannya ditamatkan lebih awal oleh kerajaan atas alasan masalah kesihatan. – 16 Mei, 2018.
Komen