Saya sudah maafkan Dr Mahathir, kata Anwar 


The Malaysian Insight

DALAM sidang media pertamanya selepas dibebaskan daripada penjara, ketua umum PKR Anwar Ibrahim berkata beliau tiada perasaan dendam terhadap Dr Mahathir Mohamad, yang sebelum ini memenjarakan beliau atas tuduhan liwat.

“Ramai yang tanya saya kenapa saya bekerja dengan lelaki ini (Dr Mahathir), kamu pasti? Adakah kamu ikhlas?

“Malah seorang negarawan bertanya kepada saya soalan itu dan saya memandangnya dan berkata: ‘tumpuan saya sekarang adalah kebajikan bangsa dan Dr Mahathir kini menyokong agenda pembaharuan. Kenapa saya harus menyemai kebencian terhadapnya?’

Anwar berkata Dr Mahathir telah menunjukkan keikhlasannya dengan menyokong agenda pembaharuan dan bekerja keras pada Pilihan Raya Umum ke 14.

“Beliau juga difitnah dalam media, rasa seperti deja vu,” kata Anwar.

Anwar dibebaskan pada jam 11.30 pagi ini selepas mendapat pembebasan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Selepas dibebaskan, Anwar mengadap Yang di-Pertuan Agong selama sejam di Istana Negara.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika dalam perjalanan ke istana.

Anwar kemudian kembali ke kediamannya kira-kira jam 1.30 petang diiringi warden penjara serta sorakan daripada penyokongnya yang berkumpul di perkarangan kediaman pemimpin itu di Bukit Segambut sejak tengah hari.

Sebelum sidang akhbar itu, warden yang dipimpin oleh seorang pegawai berkumpul di hadapan Anwar dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengadakan majlis rasmi untuk membebaskannya kembali ke masyarakat.– 16 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen