ANWAR Ibrahim menyatakan beliau tidak tergesa-gesa untuk memegang sebarang jawatan dalam kerajaan atau untuk perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kuasa kepadanya.
Dalam sidang media pertamanya selepas dibebaskan dari penjara hari ini, ketua umum PKR itu berkata beliau akan menyertai bidang kuliah dan telah menerima tawaran daripada beberapa universiti di luar negara.
“Saya mendapat tawaran daripada universiti ternama untuk menyampaikan kuliah, kerjasama - dari Universiti Harvard, Universiti George Washington, Stamford dan juga tawaran daripada beberapa bahagian dunia Islam,” katanya pada sidang media yang diadakan di kediamannya hari ini.
“Saya menyatakan sokongan kepada kepimpinan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah (Wan Ismail). Saya akan bantu sebagai rakyat biasa.”
Anwar berkata beliau sudah memberitahu Dr Mahathir tentang perkara itu, dan menerimanya dengan baik.
“Saya kata lebih baik Tun dan Wan Azizah dan pasukan teruskan, dan biarkan saya habiskan masa bersama keluarga, dan perlu masa dan ruang untuk pergi ke beberapa tempat dan menghadiri program.
“Dr Mahathir mengalu-alukan keputusan ini. Saya tidak perlu berkhidmat dalam Kabinet buat masa sekarang.”
Anwar berkata beliau dan Dr Wan Azizah akan bertemu dengan Dr Mahathir secepat mungkin untuk berterima kasih kerana membantu mereka mendapatkan pengampunan diraja.
“Semua ini berlaku atas kurniaan Tuhan dan kerana semangat juang rakyat selama 20 tahun. Hari ini hari baru,” katanya.
Menjawab soalan kenapa Dr Mahathir dipilih sebagai perdana menteri dan bukan calon lebih mudah, Anwar berkata Dr Mahathir yang paling tepat kerana komited untuk melakukan agenda perubahan dan ia agenda orang muda.
Katanya, dalam kerajaan sekarang juga, keputusan dibuat oleh pasukan dengan Dr Mahathir sebagai ketua.
“Ia bukan sistem diktator,” kata Anwar.
Berhubung pemilihan barisan Kabinet, Anwar berkata perdana menteri berhak menubuhkan Kabinetnya.
Anwar berkata beliau tidak ada kuasa untuk mempengaruhi senarai akhir tetapi mengakui sebagai ketua parti beliau boleh memberikan pandangan.
“Beliau akan mendapatkan pandangan ketua parti dan saya ada beri sedikit apa yang saya fikir tetapi di akhirnya seseorang perlu membuat keputusan,” kata Anwar.
Dr Mahathir masih belum mengumumkan senarai penuh Kabinet. Beliau sebelum ini menamakan 10 kementerian tetapi baru tiga nama diumumkan untuk mengisi jawatan menteri iaitu pertahanan, kewangan dan menteri dalam negeri.
Tujuh lagi nama masih dalam perbincangan. – 16 Mei, 2018.
Komen