AHLI Parlimen Kepong Lim Lip Eng membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas menteri wilayah persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung penjulana 64 bidang tanah kepada Yayasan Wilayah Persekutuan sejak 2013.
Dalam laporannya, Lim mendakwa Tengku Adnan, yang juga peneraju yayasan terbabit, perlu disiasat segera kerana terdapat konflik kepentingan dalam transaksi.
“Saya memaklumkan kepada SPRM bahawa individu pertama yang mereka perlu siasat adalah Tengku Adnan, kerana beliau yang meluluskan penjualan tanah berkenaan.
“Beliau juga terlibat dengan yayasan. Pada dasarnya, (terdapat) konflik (kepentingan),” kata Lim, memetik laporan The New Straits Times.
“Mungkin timbalan menteri wilayah persekutuan Dr Loga Bala Mohan dan datuk bandar (perlu) disiasat (juga), kerana mereka adalah sebahagian daripada yayasan,” katanya.
Lim berkata, 64 bidang tanah berkenaan adalah untuk menyediakan kemudahan mampu milik kepada rakyat. Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati, hanya sebahagian daripada lot tanah itu digunakan untuk pembinaan rumah mampu milik.
64 bidang tanah terbabit yang keseluruhannya berkeluasan 171.7 hektar bernilai RM4.28 bilion dijual tanpa membuka tender, kata Lim.
Menurutnya, projek pembangunan yang diluluskan di Wilayah Persekutuan akan diteruskan seperti biasa manakala pembangunna yang masih dalam perancangan akan ditangguhkan sementara.
“Ini bagi membolehkan kami menyemak semula perjanjian tanah, dan bagi memastikan semua jualan tanah dibuat menerusi tender terbuka,” tambahnya. – 16 Mei, 2018.
Komen