ORGANISASI hak asasi manusia menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) segera menyemak semula banyak undang-undang hak asasi yang disalah guna dan masih ada dalam sistem perundangan Malaysia.
Timbalan Pengarah Asia Human Rights Watch Phil Robertson berkata semakan semula itu perlu bagi mengelak ahli politik dan aktivis lain mengalami ketidakadilan seperti apa dilalui oleh pemimpin PKR Anwar Ibrahim.
“Kerajaan baharu PH perlu segera melihat semula atau membatalkan undang-undang hak asasi manusia yang disalah guna supaya ahli politik lain dan aktivis tidak melalui apa dialami oleh Anwar,” katanya dalam satu kenyataan.
Hari ini, Istana Negara mengumumkan Anwar yang juga ketua umum PKR diberikan pengampunan serta-merta oleh Lembaga Pengampunan.
Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana disabitkan bersalah atas tuduhan meliwat pada 2015, di mana pengkritik berkata sabitan itu berunsurkan politik.
“Membebaskan Anwar sesuatu yang lama dinantikan dan sementara rakyat Malaysia dan seluruh dunia gembira dengan apa berlaku hari ini, kita tidak boleh lupa ketidakadilan yang dihadapi Anwar dengan hukuman penjara atas jenayah yang tidak sepatutnya dianggap jenayah langsung.
“Tidak mengejutkan dalam keadaan politik sekarang, kerajaan baharu yang memberikan kebebasan untuknya, di mana bekas perdana menteri sebelum ini sering mempolitikkan isu ini dari awal untuk menyingkirkan pesaing politiknya,” kata Robertson.
Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk memberikan pengampunan penuh dan serta-merta kepada Anwar. – 16 Mei, 2018.
Komen