Dasar BN yang baik wajar diteruskan, kata Syed Saddiq 


The Malaysian Insight

KETUA Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Rahman berkata dasar kerajaan dibawah Barisan Nasional (BN) yang memberikan kebaikan kepada rakyat wajar diteruskan.

Beliau memberikan contoh program di bawah Kementerian Beliau dan Sukan yang memberi manfaat kepada golongan belia. 

“Benda yang baik kita ikut. Saya beri contoh macam (aktiviti) Fit Malaysia. Saya akan sokong, jadi menteri atau tidak, saya akan sokong.

“Benda yang kita tak nak adalah rasuah, salah guna kuasa. Dan dasar-dasar yang dirangka untuk tujuan politik dan kepentingan peribadi, kita tolak,” katanya kepada Malaysia Decides. 

Walaupun beliau tidak mempunyai masalah dengan dasar TN50 yang dicetuskan Najib Razak sewaktu mentadbir, namun perkara tersebut perlu diputuskan oleh pimpinan tertinggi dalam Pakatan Harapan. 

“TN50 itu saya kena perincikan macam asasnya di mana dapatkan pandangan rakyat dan ambil kira. Itu sangat baik dan harus diteruskan. Berkenaan branding TN50 dan Wawasan 2020 itu saya rasa secara amnya tiada masalah. 

“Cuma ini (TN50) kena bincang peringkat atas. Kita hendak cepat kerana banyak perkara nak lakukan. Perkara seperti Pemerkasaan TVET harus diteruskan,” kata Ahli Parlimen Muar itu.

Selepas BN kalah teruk pada PRU14, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata beliau bersedia untuk menyerahkan tugasnya memimpin golongan belia di negara ini Syed Saddiq.

Menerusi laman Twitternya, Khairy berharap Ketua Pemuda PPBM berusia 25 tahun itu dapat memimpin golongan belia dengan baik.

Perkara itu disambut baik pengguna media sosial yang menyifatkan Khairy sebagai sangat profesional dalam kerjayanya. – 16 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen