Kedudukan Johor istimewa, titah Sultan


The Malaysian Insight

KERAJAAN baru berkuasa di Malaysia. Dan perdana menteri baru pula sedang membaiki semuanya di Putrajaya.

Tetapi titah Sultan Johor hari ini jelas, yang negeri selatan tanah air itu unik dan apabila menyentuh hal urusan negeri, baginda mempunyai kuasa.

Dalam titah ucapan di majlis angkat sumpah menteri besar dan exco kerajaan negeri, Sultan mengatakan sistem pentadbiran negeri di Johor berasaskan undang-undang yang digubal pada 1895.

Kerana itu, sesiapa yang mahu mentadbir negeri itu perlulah arif dengan selok belok perundangan itu.

“Saya tidak akan membenarkan mana-mana pihak untuk mengkhianati negeri dan rakyat saya atau cuba menghancurkan perpaduan, kemakmuran dan kesejahteraan hidup Bangsa Johor,” titah Baginda, menambah yang baginda tidak memihak kepada mana-mana parti politik dan buta kaum serta warna kulit.

Sejak ditabal menjadi Sultan, Sultan Ibrahim berusaha mengekalkan keunikan Johor dan menggunakan istilah Bangsa Johor untuk merujuk kepada rakyat negeri itu.

Baginda sekali lagi menyentuh perkara itu hari ini apabila mengatakan: “Johor perlu jadi Johor. Kita tak perlu ikut negeri lain kerana kita ada kedudukan kita sendiri yang berbeza daripada negeri lain”.

Sultan juga memberikan nasihat kepada Menteri Besar Osman Sapian dan barisan exco negeri baru.

Masa kempen politik sudah tamat. Sekarang masanya untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukannya mencari kemewahan atau mengkayakan mereka, katanya.

Sultan juga menegaskan yang baginda akan terus patuh kepada protokol dan kod pakaian rasmi.

Di masa lalu, ada beberapa kejadian apabila ahli Dewan Undangan Negeri daripada DAP enggan memakai songkok pada majlis rasmi.

Peringatan sultan mengenai kod pakaian rasmi itu kelihatan untuk mengelak sebarang kontroversi apabila kerajaan negeri itu kini yang dipegang Pakatan Harapan mempunyai 14 orang Adun daripada DAP. – 16 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen