CAGED gesa polis siasat maklumat baharu kehilangan Amri, Koh


The Malaysian Insight

POLIS perlu menyiasat pendedahan terkini dibuat oleh isteri aktivis yang hilang, Amri Che Mat bahawa Bukit Aman dikatakan terbabit dalam penculikan pengasas Perlis Hope itu dan Pastor Raymond Koh, kata kumpulan aktivis sosial.

Gabungan kumpulan aktivis sosial itu, CAGED berkata polis perlu menyiasat pendedahan terbaru itu secepat mungkin.

“Individu terbabit dalam penculikan itu perlu dibawa ke muka pengadilan, tidak kira betapa besar pangkat mereka.

“Resolusi kes ini akan mengambil masa lama untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap polis dan akan membawa penyelesaian kepada keluarga mangsa ini.

“Jika mangsa masih hidup, mereka perlu dibebaskan dan dikembalikan kepada keluarga serta-merta,” kata CAGED dalam satu kenyataan.

Isteri Amri membuat laporan polis mendakwa seorang pemberi maklumat polis memberitahunya pegawai polis dari Bukit Aman yang menculik suaminya dan Pastor Koh.

Beliau berkata maklumat itu diberikan oleh pegawai Cawangan Khas yang datang ke rumahnya di Kangar, Perlis pada Sabtu lalu.

CAGED juga mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin untuk mempercepatkan siasatan kes itu.

Amri, seorang aktivis sosial yang juga pedagang forex didapati hilang pada 4 November, 2016 selepas keluar dari rumah untuk bertemu rakan.

Beliau dipercayai diculik oleh sekumpulan lelaki menaiki kenderaan pacuan empat roda yang didapati mengelilingi keretanya di Kampung Padang Behor.

Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari tahun lalu oleh sekumpulan kira-kira 15 lelaki dalam tiga kenderaan SUV berwarna hitam.

Panel Suhakam ditubuhkan untuk mengenal pasti sama ada kehilangan Amri dan Koh, serta dua yang lain – Pastor Joshua Hilmi dan isterinya Ruth – adalah kehilangan paksa dilakukan oleh pihak berkuasa. – 16 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen