ANWAR Ibrahim hari ini dibebaskan dari penjara selepas mendapat pembebasan daripada Yang Di-Pertuan Agong.
Pembebasan ini membuka jalan kepada Anwar untuk diangkat sebagai perdana menteri ke-8 menggantikan Dr Mahathir Mohamad yang menerajui Pakatan Harapan merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional.
Anwar yang dikawal oleh pengawal penjara, dibebaskan di Hospital Rehabilitasi Cheras, tempat beliau menjalani rawatan sejak awal tahun ini, lebih kurang pukul 11.30 pagi, disambut ratusan media dan penyokongnya yang menunggu sejak 7 pagi.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Anwar perlu bergegas ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kini berada di Istana Negara dan kedua-dua pemimpin itu dijangka bertemu media petang nanti.
Peguam Anwar, R. Sivarasa berkata Lembaga Pengampunan membentangkan syor kepada Agong dan Agong memperkenankan pengampunan untuk Anwar.
“Beliau bukan saja bebas secara fizikal tetapi juga bebas menyertai politik negara seolah-olah sabitan lalu tidak wujud,” kata Sivarasa ketika ditemui di hospital.
Beliau berkata Anwar akan bertemu keluarga dan rakan-rakannya dalam tempoh beberapa hari ini.
Sivarasa berkata mereka akan memulakan proses membawanya kembali ke Parlimen selepas sambutan Hari Raya.
“Seseorang perlu melepaskan kerusinya tetapi kami belum tahu lagi siapa,” kata Sivarasa.
Sementara itu, jurucakap istana Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata mengikut Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan, Anwar diberikan pengampunan penuh dan dibebaskan serta-merta.
“Mengikut Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan, di bawah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dengan nasihat daripada Lembaga Pengampunan, pengampunan Anwar diterima dan beliau perlu dibebaskan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 2015, Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan mensabitkan beliau bersalah atas dakwaan meliwat.
Pada Jumaat lalu, Dr Mahathir berkata Yang di-Pertuan Agong menyatakan persetujuan untuk memberikan pengampunan penuh dan serta-merta kepada Anwar. – 16 Mei, 2018.
Komen