AHLI perniagaan Low Taek Jho diperintah oleh mahkamah di Amerika Syarikat (AS) untuk menyerahkan kapal mewahnya Equanimity yang didakwa dibeli dengan wang haram terkait dengan skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) kepada pihak berkuasa negara itu, lapor Bloomberg.
Hakim Dale Fischer di Los Angeles berkata keputusannya tidak menjejaskan kedaulatan Indonesia selepas mahkamah di republik itu bulan lepas memutuskan rampasan kapal itu di Bali, dengan kerjasama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), tidak mengikut undang-undang.
“Ini bukan kes kerajaan AS menyita dengan paksa harta di negara asing tanpa kuasa yang wajar daripada kerajaan negara berkenaan,” kata hakim berkenaan.
Dengan keputusan tersebut, pihak yang memegang hak pemilikan ke atas Equanimity dikehendaki menyerahkan kapal yang kini berada di perairan Indonesia itu, atau berdepan dengan tindakan selanjutnya.
Equanimity antara aset yang didakwa dibeli dengan wang yang digelapkan dari 1MDB.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang mengambil alih Putrajaya sejak minggu lalu, menjadikan skandal 1MDB antara isu pertama yang ditangani oleh pentadbirannya.
Tiga hari selepas menang pilihan raya, Dr Mahathir mengesahkan bekas perdana menteri Najib Razak disekat daripada ke luar negara. Beliau juga mengambil langkah untuk menggantikan Peguam Negara Apandi Mohd Ali yang sebelum ini memutuskan tiada kes bersabit 1MDB.
Semalam, Dr Mahathir memberitahu Wall Street Journal, Najib akan didakwa berhubung penyelewengan dana 1MDB, tuduhan yang beliau nafikan selama jadi perdana menteri.
Ketua Audit Negara Madinah Mohamad, beberapa jam selepas bertemu Dr Mahathir, malam tadi mengumumkan laporan audit 1MDB tidak lagi diklasifikasikan sebagai rahsia.
Dr Mahathir semalam juga mengadakan pertemuan berasingan dengan Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun serta beberapa tokoh dalam kehakiman dan pegawai kanan polis, dipercayai berbincang mengenai kedudukan kes 1MDB.
Antaranya termasuk bekas peguam negara Abdul Gani Patail dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas, Abdul Hamid Bador – yang karier mereka terjejas pada 2015 ketika kemuncak siasatan terhadap skandal 1MDB. – 16 Mei, 2018.
Komen