PENDAKWARAYA Switzerland meluahkan minat mereka untuk menyambung kembali siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut laporan.
Pejabat Peguam Negara Switzerland dalam satu kenyataan menyatakan yang mereka “sangat berminat menyambung dialong dengan pihak berkuasa yang cekap di Malaysia” dan “berminat dengan pertukaran (maklumat) antara rakan sejawat mengikut kesesuaian mereka (Malaysia)”.
Pihak berkuasa Singapura juga menghulurkan bantuan lanjut kepada penyiasat Malaysia mengenai aliran tunai berbilion dolar itu, kata Pihak Berkuasa Kewangan Singapura dan Jabatan Hal Ehwal Komersial dalam email seperti dilaporkan Bloomberg.
Empat hari lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengatakan bukti sudah mencukupi untuk menyambung kembali siasatan 1MDB. Jabatan Imigresen juga sudah mengeluarkan arahan sekatan perjalanan ke atas Najib Razak yang selama ini dituduh bersama beberapa orang lagi memainkan peranan merompak dana negara mencecah berbilion ringgit sehingga mencetuskan skandal kewangan rentas negara paling teruk pernah berlaku.
Ketua Pengarah Jabatan Audit Negara Dr Madinah Mohamad juga sudah mengumumkan yang pejabatnya sudah membatalkan status laporan audit 1MDB yang sebelum ini diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Sementara itu, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mengatakan yang beliau sudah menghubungi ahli Parlimen Switzerland untuk menyokong usul mengembalikan semula RM430 juta dana berkaitan 1MDB yang dirampas pihak berkuasa negara itu dari bank Swiss kepada Malaysia.
“Saya sudah menghantar email kepada ahli Parlimen Swiss meminta mereka untuk menyokong usul Parlimen Switzerland untuk mengembalikan semula RM430 juta dana berkaitan 1MDB yang dirampas dari bank Swiss kerana korupsi dilakukan kepada Malaysia bagi memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang terjejas dengan skandal 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan minggu lepas.
Katanya, Perkara 35 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Korupsi menjunjung prinsip yang “entiti atau orang yang terjejas kerana tindakan korupsi mempunyai hak untuk memulakan prosiding mahkamah terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukan kerosakan itu bagi mendapatkan pampasan”.
“Ia juga adalah sangat tidak bermoral dan tidak ada alasan untuk kerajaan Swiss menyimpan wang untuk kegunaannya sendiri kerana ia akan mewujudkan situasi buruk dalam zaman untuk memastikan pengisytiharan menentang korupsi sebagai jenayah antarabangsa,” katanya lagi. – 16 Mei, 2018.
Komen