Exco Pulau Pinang angkat sumpah, 5 muka baharu


The Malaysian Insight

BARISAN exco kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mengangkat sumpah bagi penggal ketiga pagi ini dengan lima wajah baharu dan rombakan kecil portfolio.

Ketua menteri Chow Kon Yeow yang juga Adun Padang Kota daripada DAP mengendalikan hal ehwal tanah dan pembangunan, maklumat dan pengangkutan.

Timbalan Ketua Menteri 1 yang baharu daripada PKR, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Adun Pinang Tunggal dan seorang jurutera akan bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, pembangunan industri dan hubungan masyarakat.

Adun Prai Dr P. Ramasamy daripada DAP, yang kembali kepada jawatan timbalan ketua menteri II untuk penggal ketiga, mengekalkan portfolio iaitu perancangan ekonomi, pendidikan, pembangunan modal insan, sains, teknologi dan inovasi.

Daripada empat muka baharu yang lain, Adun Tanjung Bungah Zairil Khir Johari daripada DAP yang juga bekas ahli Parlimen Bukit Bendera akan mengendalikan kerja awam, utiliti dan penebatan banjir.

Adun Batu Maung Abdul Halim Hussain daripada PKR, yang juga speaker DUN dari 2008-2013 akan mengetuai jawatankuasa perdagangan domestik dan antarabangsa, hal ehwal pengguna dan pembangunan keusahawanan.

Adun Paya Terubong selama tiga penggal Yeoh Soon Hin daripada DAP yang juga exco baharu bertanggungjawab bagi pembangunan pelancongan dan warisan, budaya dan seni. Rakan separtinya, Soon Lip Chee yang juga Adun Bagan Jermal akan mengendalikan belia dan sukan.

Empat lagi exco memegang portfolio mereka sebelum ini dengan sesetengahnya memegang tanggungjawab baharu.

Jawatankuasa kerajaan tempatan, perumahan dan pembangunan bandar dan desa akan dikendalikan Adun Datuk Keramat selama tiga penggal, Jagdeep Singh Deo daripada DAP.

Adun Padang Lalang, Chong Eng daripada DAP memegang jawatankuasa pembangunan wanita dan keluarga bagi penggal keduanya. Beliau juga akan mengendalikan hal ehwal bukan Islam yang sebelum ini dipegang oleh bekas ketua menteri Lim Guan Eng.

Semua 10 exco kecuali Chow mengangkat sumpah di hadapan yang dipertua negeri Dr Abdul Rahman Abbas di Dewan Sri Pinang, 11 pagi tadi.

PH berjaya mengekalkan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam PRU14 pada 9 Mei lalu dengan memenangi 37 daripada 40 kerusi DUN. Barisan Nasional menang hanya dua kerusi dan PAS, satu.

DAP menang paling banyak iaitu 19 kerusi sementara PKR 14. Parti baharu dalam PH iaitu Bersatu dan Amanah masing-masing menang dua kerusi DUN. – 16 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen