PAS menggesa kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) untuk memberikan akses kepada media aliran perdana untuk parti itu memperincikan penjelasan tentang RUU355, iaitu cadangan rang undang-undang untuk memperkasakan hukuman mahkamah syariah.
Setiausaha Majlis Syura PAS Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata parti Islam itu bersedia untuk membincangkan dan mengadakan dialog terbuka tentang RUU355 yang kontroversi itu atau Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965.
“Kami harap kerajaan baharu memberikan kami lebih ruang berbanding kerajaan Umno dan Barisan Nasional.
“Ruang ini bukan saja di Parlimen, tetapi di media termasuk televisyen supaya kami dapat memberikan penjelasan terbaik kepada rakyat terutama bukan Islam,” katanya dipetik daripada Utusan Online.
Tahun lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menjadi ahli Parlimen pembangkang yang pertama membentangkan RUU persendirian di Dewan Rakyat.
Speaker Pandikar Amin Mulia menangguhkan debat untuk usul itu dan mengakhiri persidangan sebaik saja Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan (Kota Baru) menyokong usul itu.
Pengkritik RUU itu berkata undang-undang berkenaan jika diluluskan akan bertentangan dengan struktur asas Perlembagaan Persekutuan. – 16 Mei, 2018.
Komen