Suhakam sambung siasat kehilangan Pastor Koh


The Malaysian Insight

SIASATAN awam berkaitan kehilangan Pastor Raymond Koh akan disambung kembali, umum Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.

Siasatan ke atas kehilangan pastor itu dihentikan setengah jalan apabila polis memaklumkan panel siasatan yang mereka sudah melakukan pendakwaan ke atas pemandu Uber separuh masa, Lam Chang Nam atas tuduhan menculik Koh.

Bagaimanapun, pagi ini, Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai yang mengetuai siasatan itu berkata yang suruhanjaya memutuskan untuk meneruskan siasatan selepas melakukan pertimbangan sewajarnya.

“Perkara yang jadi kes mahkamah Lam Chang Nam tidak sama dengan perkara panel siasatan (Suhakam).”

Februari lalu, polis menggunakan Seksyen 12 (3) Akta Suhakam 1999 yang mengatakan jika ketika tempoh siasatan pencabulan hak asasi seseorang, dakwaan itu menjadi perkara prosiding mana-mana mahkamah, suruhanjaya itu perlu menghentikan siasatan serta merta.

Peguam keluarga Koh Gurdial Singh Nijar mengatakan siasatan itu hanya perlu dihentikan jika perkara siasatan dan mahkamah adalah sama.

“Anda tak boleh mahkamah dan siasatan (Suhakam) tentukan isu (yang sama). Ia perlu salah satu yang buat keputusan tentang isu itu.”

Katanya, kes Lam di mahkamah tidak ada kena mengena dengan tumpuan siasatan panel yang mahu mengkaji sama ada wujud campur tangan pihak berkuasa dalam kehilangan Koh.

“Jika dia (Lam) disabitkan kesalahan adakah wujud penglibatan pihak berkuasa?”

Panel Suhakam bermatlamat untuk menentukan sama ada penculikan Koh serta kehilangan tiga yang lain pada 2016- aktivis sosial Amri Che Mat, Pastor Joshua Hilmi dan isterinya, Ruth- adalah kehilangan paksa yang melibatkan pihak berkuasa negara ini.

Koh diculik di Petaling Jaya pada 13 Februari 2017 oleh kira-kira 15 lelaki menggunakan tiga kenderaan.

Penculikan berlaku di siang hari itu berjaya dirakam kamera litar tertutup dan disifatkan banyak pihak sebagai operasi terancang profesional. – 16 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen