PERSATUAN Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menggesa aktivis Pakatan Harapan (PH) agar tidak membalas dendam terhadap penyokong Barisan Nasional (BN) di Felda walaupun sudah mengambil alih kerajaan persekutuan.
Presiden Anak Mazlan Aliman berkata, walaupun pada masa lalu diskriminasi dan layanan buruk yang diterima oleh ahli dan penyokong PH dari kerajaan BN sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan alasan untuk membalas dendam.
“Akhlak baik yang dipamerkan, akan mengundang rasa hormat anggota masyarakat terhadap kerajaan baru, PH.
“Justeru, sementara menunggu pengumuman dan langkah berikutnya dari kerajaan PH, masyarakat Felda harus bertenang dan menjalani aktiviti seperti biasa.
“Elakkan sama sekali mengambil tindakan gopoh dan berunsur ugutan; demi kebaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mazlan berkata, keharmonian hidup warga Felda perlu dikekalkan walaupun PH sudah mengambil alih kerajaan persekutuan.
Menurut Mazlan, PH tidak boleh berbuat sesuka hati terhadap institusi, badan-badan yang ada di Felda seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Gerakan Persatuan Wanita (GPW) dan lain-lain.
“Permohonan untuk menggunakan premis awam seperti Dewan Semai Bakti, balai raya dan lain-lain, harus mengikuti proses yang betul, agar tidak menimbulkan polemik dalam masyarakat.
“Perpaduan dan keharmonian antara peneroka, generasi baharu dengan JKKK, pengurusan Felda dan badan-badan dalam Felda sangat penting bagi mengelakkan ketegangan yang tidak menguntungkan sesiapa,” katanya. – 16 Mei, 2018.
Komen