P PRABAKARAN umpama dapat durian runtuh apabila beberapa minggu lalu, beliau bukan siapa-siapa tetapi kini menjadi ahli Parlimen termuda pada usia 22 tahun selepas menang dalam PRU14 lalu.
Mudah didekati dan peramah, ahli Parlimen Batu itu kini dikerumuni orang ramai yang teruja mahu berswafoto dengannya.
Pelajar tahun kedua jurusan undang-undang di Brickfields Asia College (BAC) itu tidak menjangkakan kemenangan dan sudah bersedia untuk hilang wang deposit RM15,000 apabila mengambil keputusan bertanding menjadi calon bebas.
“Saya tidak kisah hilang wang deposit semata-mata untuk mengubah pemikiran masyarakat. Sekarang, semua anak muda sudah bangkit.
“Ini undi pertama saya. Bila saya masuk bertanding saya tidak rancang untuk menang. Saya hanya mahu mulakan kerjaya sebagai ahli politik.
“Ia kerana saya mahu pecahkan persepsi bahawa kamu tidak perlu parti untuk berkhidmat dengan rakyat,” katanya.
Anak bongsu daripada tiga beradik ini mendapat 38,125 undi dengan majoriti 24,438 mengalahkan tiga calon lain daripada BN, PAS dan Bebas.
Beliau kini menyertai PKR kerana mempunyai agenda yang sama dan fokus berkhidmat untuk rakyat.
“Kita ada agenda yang sama. Tian Chua juga menyokong dan bantu saya berkempen, saya bertuah kerana ada beliau sebagai mentor,” katanya merujuk kepada bekas ahli Parlimen Batu.
Beliau antara 17 calon bawah umur 35 tahun yang bertanding dalam PRU14.
Dan beliau antara enam yang menang. Lima yang lain ialah Akmal Nasir, 32 (Johor Baru) daripada PKR, calon Bersatu, Syed Saddiq, 25, (Muar) serta calon DAP iaitu Yeo Bee Yin, 35, (Bakri), Dr Kelvin Yii Lee Wuen, 31 (Kuching) dan Mordi Bimol, 33, (Mas Gading).
Prabakaran kini sedang dalam usaha untuk menyediakan pusat khidmat masyarakat bagi memudahkan penduduk di Parlimennya mendapatkan bantuan.
“Saya mahu fokus pada sektor pendidikan dan ekonomi untuk rakyat. Saya ingin memperkenalkan pelbagai aktiviti sukan di bawah kerajaan.
“Daripada segi pendidikan pula, saya ingin meningkatkan kemahiran vokasional, komunikasi dan merangsang bakat terpendam dan minat mereka terhadap politik,” kata anak kepada perunding hartanah itu. – 16 Mei, 2018.
Komen