Polis ambil suami saya dan Pastor Koh, kata isteri aktivis hilang


The Malaysian Insight

ISTERI kepada aktivis yang masih hilang, Amri Che Mat membuat laporan polis mendakwa seorang pemberi maklumat polis memberitahunya bahawa polis dari ibu pejabat Bukit Aman menculik suaminya dan Pastor Raymond Koh.

Norhayati Mohd Ariffin berkata maklumat yang mengejutkan itu diberi kepadanya oleh pegawai Cawangan Khas yang datang ke rumahnya di Kangar, Perlis pada 12 Mei.

Operasi mencuri Amri dan Koh dikatakan dilaksanakan oleh Bahagian Ekstremisme Sosial Cawangan Khas Bukit Aman.

Semua maklumat itu termasuk nama pegawai terbabit dan juga pemberi maklumat itu, diberikan kepada polis, semalam ketika Norhayati membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Shah Alam.

“Ketika saya tanya dia (pemberi maklumat) kenapa Amri diambil, dia kata sebab ‘syiah’ dan ‘forex’.

“Pegawai itu mendakwa pasukan Bukit Aman yang ambil Amri ialah pasukan sama ambil Pastor Raymond Koh pada 13 Februari, 2017.

“Bila saya tanya kenapa, dia kata sebab Koh didakwa memurtadkan orang Islam,” kata Norhayati dalam satu kenyataan.

Amri, seorang aktivis sosial yang juga pedagang forex didapati hilang pada 4 November, 2016 selepas keluar dari rumah untuk bertemu rakan.

Beliau dipercayai diculik oleh sekumpulan lelaki menaiki kenderaan pacuan empat roda yang didapati mengelilingi keretanya di Kampung Padang Behor.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengadakan siasatan awam terhadap kehilangan Amri, Koh dan Pastor Joshua serta isterinya Ruth Hilmy.

Norhayathi berkata beliau dimaklumkan oleh pegawai itu bahawa sebelum kehilangan Amri, pasukan polis di Perlis sudah pun memantau pergerakannya.

Beliau dimaklumkan, pasukan itu diketuai seorang ASP dari Cawangan Khas. Maklumat yang dikumpulkan oleh ASP itu kemudian dihantar ke Bukit Aman.

“Saya dedahkan lebih banyak maklumat kepada polis dalam laporan saya.

“Saya gesa polis menyiasat tuduhan serius ini dan mencari suami saya Amri serta Koh.

“Saya juga menggesa polis bekerjasama dengan siasatan yang dilakukan oleh Suhakam,” katanya. – 16 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen