PEMIMPIN Umno di Sabah percaya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menjadi penyebab utama para pengundi menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Mereka percaya BN tersungkur kerana pengundi menderita akibat kenaikan kos sara hidup akibat cukai tersebut. Sentimen ke atas bekas Pengerusi, Najib Razak dan firma 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pula jadi faktor kedua.
“Isu Najib dan 1MDB masih perkara kedua. Yang pertama dan paling utama adalah mereka punya kos sara hidup sebab apa sahaja yang kita jelaskan, walaupun kita bina pusat membeli belah 1Borneo, ia tidak memberi kesan pada mereka.
“Apa yang penting adalah kos sara hidup mereka. Sebelum ini dengan nilai wang yang sama mereka boleh beli lebih banyak barang tapi sekarang semakin sedikit,” kata Ketua Wanita Umno Kudat Aminah Ambrose kepada Malaysia Decides.
Mengulas lanjut, beliau juga melihat ramai calon Umno melancarkan jentera pilihan raya sendiri dan tidak menggunakan jentera parti untuk berkempen.
“Umno ada buat jentera, Pusat Daerah Mengundi. Tapi selepas penamaan, ramai calon ini bawa hala tuju mereka sendiri, bawa jentera sendiri.
“Kecuali Datuk Bolkiah (Ismail). Dia menang kerana dia guna pakai PDM,” kata Aminah lagi mengulas mengenai penyandang kerusi Pitas itu yang mengekalkannya untuk penggal ketiga pada PRU14.
Beliau juga bersetuju bahawa pilihan raya umum 9 Mei lalu memberi cukup masa bagi bekas naib presiden mereka, Shafie Apdal untuk mengatur gerakan dengan menubuhkan parti Warisan dan menewaskan Umno.
Beliau percaya sekiranya pilihan raya negeri dibuat lebih awal ketika Shafie baharu tersisih dari Umno, keadaannya tentu berbeza dan BN pasti masih menguasai kerajaan.
“Sebab mereka (Warisan) kini sudah membentuk akar umbi. Macam sekarang sudah berapa tahun, (pengaruh Warisan) sudah mulai menyerap.
“Dia sudah berjaya menghimpunkan beberapa orang yang berpengaruh. Datuk Seri Shafie ini pintar. Dia cari mantan wakil rakyat yang masih ada pengaruh, yang mana Umno mungkin sudah tidak layan,” kata Aminah lagi.
Tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-13, Shafie digantung keahlian oleh Umno susulan kritikan ke atas Najib. Beliau keluar parti tidak lama kemudian.
Aminah berkata, pada waktu itu, BN Sabah sudahpun bersedia untuk mengadakan pilihan raya negeri tetapi BN di peringkat persekutuan berpendapat sebaliknya.
Hasilnya, gabungan parti pimpinan Shafie berjaya mendapat jumlah kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan dan beliau mengangkat sumpah jawatan ketua menteri pada 12 Mei.
Barisan anggota kabinetnya dijangka mengangkat sumpah jawatan hari ini. – 16 Mei, 2018.
Komen