MEMPERBAIKI institusi negara adalah kembara bukannya destinasi, kata Prof Shad Saleem Faruqi, salah seorang ahli jawatankuasa yang baru dilantik bagi menerajui reformasi institusi itu.
Shad Saleem, seorang tokoh unggul dalam bidang perundangan Perlembagaan Persekutuan menyifatkan jalan sukar menanti jawatankuasa itu kerana ia akan membantu Pakatan Harapan (PH) sepenuhnya bagi memenuhi janji pilihan raya mereka.
“Ia tanggungjawab berat dan bukan mudah. Kami perlu menggabungkan kepentingan yang bertentangan dan menyatukan idealisme dengan keberkesanan,” katanya, menambah yang jawatankuasa itu akan mengambil kira semua pandangan dengan jujur bagi memenuhi peranan mereka.
“Kami bukannya bermula daripada tiada apa-apa kerana institusi ini semuanya sudah ada. Tetapi ia jadi mangsa salah guna dominasi eksekutif,” katanya kepada Malaysia Decides.
“Jadi kita perlu bekerja dengan apa yang kita ada dan membaikinya. Ia tidak boleh dilakukan serta merta,” kata Shad Saleem yang merupakan profesor undang-undang Tunku Abdul Rahman Universiti Malaya.
Dan walaupun jawatankuasa dan pentadbiran sekarang berjaya melakukan perubahan, yang lebih mustahak adalah mereka yang dilantik menerajui institusi ini, katanya lagi.
“Mereka perlulah orang yang mahir dengan nilai yang baik,” kata pakar perundangan itu.
Salah satu keutamaan jawatankuasa adalah mencadangkan pengembalian mekanisme semak dan imbang dalam institusi negara.
Jawatankuasa itu akan menyemak semula semua undang-undang sedia ada dengan matlamat mencadangkan undang-undang baru atau meminda yang lama bagi memastikan semua agensi seperti badan pencegah rasuah, kehakiman dan pilihan raya boleh bertindak secara bebas dan professional.
Sumber pentadbiran PH mengatakan kerajaan baru dipilih itu mahukan semua perubahan ini dijalankan dalam tempoh 12 bulan.
Jawatankuasa Reformasi Institusi dibentuk di bawah Majlis Penasihat Kerajaan yang diketuai oleh bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin yang bermatlamat menyelamatkan ekonomi Malaysia.
Cadangan jawatankuasa itu akan dibentangkan kepada Majlis yang kemudiannya akan membentangkannya kepada perdana menteri untuk tindakan susulan.
Selain Shad Saleem, jawatankuasa itu juga disertai hakim bersara Mahkamah Rayuan K C Vohrah, bekas Hakim yang juga Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia Mah Weng Kwai, Presiden Persatuan Patriot Nasional Brig-Jen Mohamad Arshad Raji dan bekas Presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan.
Satu pertiga Buku Harapan yang diperkenalkan PH adalah perubahan institusi. Buku itu menyenaraikan semua dasar yang mahu dijalankan gabungan itu sekiranya menjadi kerajaan.
Ini termasuklah 10 janji yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pentadbiran mereka termasuklah menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan memperkenalkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah serta memulakan skim kesihatan Peduli Sihat.
Terdapat 18 dasar di bawah bab reformasi institusi dalam Buku Harapan.
Ini termasuklah memisahkan peranan pendakwaraya awam daripada peguam negara, dan menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya, kehakiman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah bebas daripada campur tangan kabinet.
Juga dirancang adalah penghapusan undang-undang menekan seperti Akta Hasutan dan Akta Anti Berita Tidak Benar, menjadikan perbelanjaan kerajaan lebih telus dan membentuk mekanisma pembiayaan politik yang lebih adil untuk semua parti politik. – 16 Mei, 2018.
Komen