Pembebasan Anwar berkat Ramadan, kata anak


The Malaysian Insight

PEMBEBASAN Anwar Ibrahim yang dipenjarakan sejak 2015 merupakan berkat Ramadan, kata anak keduanya, Nurul Nuha Anwar.

Nurul Nuha berkata, walaupun berita pembebasan Anwar seperti “tidak dipercayainya”, mereka sekeluarga sangat gembira akhirnya ketua umum PKR itu akhirnya dibebaskan.

“Dibebaskan pada bulan Ramadan merupakan satu berkat. Kami rindu bersamanya ketika sembahyang terawih, bersahur dan berbuka puasa.

“Papa selalu menjadi imam kami untuk sembahyang Fajar, Maghrib dan lain-lain,” kata Nurul Nuha yang mengetuai kempen Bebaskan Anwar kepada Malaysia Decides.

Nurul Nuha merupakan anak kedua Anwar daripada enam orang adik beradik. 

Kakaknya, Nurul Izzah Anwar merupakan naib presiden PKR dan ahli Parlimen Permatang Pauh.

Pada 2008, Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dalam sebuah laporan polis.

Anwar dipenjarakan pada Februari 2015 selepas disabitkan bersalah kerana pertuduhan itu.

Keluarga dan penyokongnya menganggap pemenjaraannya sebagai tidak adil. 

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menewaskan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menunaikan janjinya untuk membebaskan Anwar.

Lembaga Pengampunan dijadualkan bermesyuarat mengenai pembebasan Anwar hari ini.

Nurul Nuha berkata, keluarganya tidak membuat persiapan banyak menyambut pembebasan Anwar melainkan menyediakan katil yang sesuai dengan kesakitan bahu dialami ayahnya.

“Kami hanya menunggu kepulangannya,” katanya.

“Kami masih belum merancang untuk mengadakan percutian keluarga lagi. Kerana kini ibu kami (Dr Wan Azizah Wan Ismail) merupakan timbalan perdana menteri, beliau perlu mula bertugas,” katanya.

Nurul Nuha berkata, tiada sambutan diadakan untuk menyambut kepulangan Anwar.

“Kami hanya akan menghabiskan masa bersama. Syukurlah Anwar dapat menghabiskan masa dengan anak dan cucunya.

“Disebabkan Ramadan akan tiba tak lama lagi, kami akan bersahur dan berbuka puasa bersama,” katanya. – 16 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen