Jejak rejim Najib mula dihapus


The Malaysian Insight

PUTRAJAYA sudah mengarahkan semua agensi kerajaan untuk membuang semua jejak regim sebelum inii seperti slogan yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak; 1Malaysia dan Negaraku.

Slogan itu sebelum ini digunakan secara meluas di sekolah, hospital, institusi kerajaan dan perkhidmataan awam.

Malaysia Decides melihat memo dalaman sebuah hospital kerajaan yang mengarahkan pembuangan logo 1Malaysia dan gambar Najib yang juga merupakan pengerusi Barisan Nasional.

Email yang dihantar kepada semua penjawat awam dari sebuah jabatan ketua setiausaha negara juga melibatkan arahan mengharamkan penjawat awam daripada menggunakan:

*baju korporat dengan logo 1Malaysia;

*pin baju 1Malaysia dan Negaraku; dan

*frasa seperti Salah 1Malaysia, Salam Negaraku atau Salam Negaraku 1Malaysia dalam mana-mana dokumen, email dan memo.

Semalam, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menerusi akaun Twitternya mengatakan datuk Bandar Kuala Lumpur sudah mengarahkan semua poster dengan gambar Najib dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor diturunkan.

Semalam, penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dilihat menurunkan papan tanda 1Malaysia Negaraku di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur.

Najib memperkenalkan konsep 1Malaysia pada 2010 untuk menggalakkan keharmonian, perpaduan nasional dan tadbir urus baik.

Program itu dikecam hebat kerana pelbagai usaha yang diperkenalkan beliau seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Klinik 1Malaysia gagal.

Program 1Malaysia itu didakwa memberi keuntungan kepada kroni Najib dan bukannya rakyat.

Kempen Negaraku dilancarkan Najib pada 2017 untuk mempromosi semangat cintakan negara. Beliau kemudian menggabungkannya menjadi 1Malaysia Negaraku.

Ini termasuklah perubahan logo asal 1Malaysia yang disatukan dengan Jalur Gemilang. – 16 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen