WALAUPUN kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Umno masih mampu bangkit semula seperti apa yang berlaku kepada parti Kuomintang di Taiwan, kata penganalisis.
Prof Terence Gomez dari Universiti Malaya berkata, untuk bangkit kembali seperti Kuomintang Umno perlu melakukan perubahan dalaman dan membersihkan parti itu terlebih dahulu.
“Kuomintang di Taiwan selalu dibandingkan dengan Umno. Satu parti yang dominan, terlibat dengan politik wang dan naungan. Mempunyai banyak kepentingan perniagaan dan sumber.
“Dan mereka kehilangan kuasa. Selepas Kuomintang hilang kuasa, mereka kembali memperbetulkan diri mereka dan akhirnya kembali menang,” kata Gomez pada satu forum bertajuk “Miracle in May” yang membincangkan tentang keputusan PRU14 di Kuala Lumpur malam tadi.
Kuomintang yang sejak awal berkuasa di Taiwan hilang kuasa buat pertama kali pada 2000.
Pada 2008 di bawah pimpinan Ma Ying Jeou, Kuomintang kembali berjaya mendapatkan kuasa selepas reformasi dalaman dilakukan parti itu.
Gomez berkata, selepas Kuomintang kembali berkuasa dengan mengalahkan Democratic Progressive Party, sistem dua parti di Taiwan menjadi lebih baik.
“Saya tidak fikir orang dalam parti ini (Umno) akan terus buang parti itu.
“Akan terdapat gerakan untuk menyelamatkan keadaan, memperbetulkan diri mereka dan kembali menjadi lebih kuat. Persoalan yang timbul ialah mampukah mereka melakukannya?” soalnya.
Semalam Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata kesal kerana tidak berterus terang dengan bekas presiden Najib Razak tentang akar umbi yang menolak parti itu, selepas bekas timbalan presiden Muhyiddin Yassin dan naib presiden Mohd Shafie Apdal “dikeluarkan”.
Khairy berkata, cabaran terbesar ialah bagaimana untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) memainkan peranan sebagai pembangkang dan berdepan dengan gandingan gergasi politik Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.
Menurut Gomez, Umno akan berdepan dengan pergaduhan dalaman yang serius sebelum mampu membuat perubahan dan membersihkan parti itu.
“Pada pandangan saya baik untuk mereka. Baik untuk Umno melaluinya.
“Buang semua perkara mengarut dan bina semula parti dan kemudian masuk semula dalam pilihan raya,” katanya.
Gomez berkata, terdapat ramai orang-orang muda dalam Umno yang tidak dapat naik kerana dihalang pemimpin tertinggi yang tidak mahu kehilangan kuasa.
“Dan pada pandangan saya terdapat ramai ahli muda Umno yang tidak dapat naik kerana ‘warlords’.
“Warlords menghalang mereka untuk naik. Kita tidak boleh memandang rendah kepada mereka (Umno). Ia merupakan parti yang besar dan kuat, mempunyai banyak sumber,” katanya.– 16 Mei, 2018.
Komen