KERAJAAN Pakatan Harapan perlu memastikan sistem saluran awam kembali ke landasannya bagi memastikan pelaksanaan perubahan yang sudah lama tertangguh, kata profesor Edmund Terence Gomez dari Universiti Malaya.
Pakar dalam ekonomi politik Malaysia itu berkata, kerajaan baharu yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad masih perlu berdepan masalah asas yang tidak dapat diselesaikan oleh perdana menteri sebelum ini, iaitu kualiti perkhidmatan awam.
“Walaupun kerajaan baharu ini membawa dasar yang baik, perkhidmatan awam akan laksanakannya tetapi kita telah pun melihat sejak 10 tahun lalu, daripada zaman Abdullah dan juga di bawah Najib, kita lihat banyak masalah dengan sistem saluran awam, kapasiti untuk menyampaikan dasar awam yang dibuat oleh ahli politik.
“Terdapat masalah besar dan ia adalah sesuatu yang perlu diberi penekanan oleh Dr Mahathir secepat mungkin,” katanya pada forum Miracle in May yang diadakan di Kuala Lumpur malam ini.
Abdullah Ahmad Badawi merupakan perdana menteri kelima, berkhidmat antara 2003 hingga 2009 sebelum Najib Razak mengambil alih jawatan itu pada 2009 hinggalah kehilangan kuasa pada pilihan raya umum yang diadakan minggu lalu.
Gomez berkata, kerajaan PH perlu membawa orang yang kompeten dalam jawatan kepimpinan kanan dalam kabinet untuk menyelesaikan masalah struktur sebenar.
“Kita telah gugurkan yang tidak elok dan membawa mereka yang lebih kompeten ke dalam kerajaan, hanya itu sahaja cara untuk membolehkan dasar dilaksanakan dengan baik.
“(Dan) Saya tidak mahu umum, terdapat beberapa penjawat awam yang sangat baik tetapi apa yang saya katakan ialah kita mempunyai birokrasi yang terlalu besar.
“Kita perlu mengetahui siapa yang tidak kompeten dan di mana isu-isu yang menyebabkan masalah dalam melaksanakan dasar, dan menangani isu-isu juga, banyak yang perlu dilakukan,” katanya.
BN hanya memenangi 78 daripada 222 kerusi Parlimen pada PRU14, prestasi terburuk parti itu selepas enam dekad mentadbir negara sejak merdeka. – 15 Mei, 2018.
Komen