MALAYSIA kini menghampiri “era kegemilangan” baharu dan rakyat Malaysia memberikan harapan kepada semua orang di seluruh dunia yang masih mendambakan kebebasan, kata Anwar Ibrahim menjelang pembebasannya dari penjara.
Namun dalam keghairahan menumbangkan rejim Najib, beliau turut memberi amaran kepada rakyat Malaysia: “satu pilihan raya tidak membuat demokrasi.”
Pemimpin pembangkang yang dipenjarakan dua kali itu menghabiskan 8 tahun dalam oenjara dalam sejak 20 tahun lalu atas dakwaan liwat yang katanya bermotif politik. Beliau berada di hospital dan sedang pulih daripada pembedahan apabila Dr Mahathir Mohamad mengetuai Pakatan Harapan hingga membawa kemenangan besar ke atas Barisan Nasional.
Selama ini, beliau tidak pernah berhenti berharap, kata Anwar.
“Saya sentiasa percaya dengan kebijaksanaan rakyat dan sekiranya kita berjuang dengan gigih, kejayaan akan tercapai,” katanya kepada Fairfax Media.
Sekiranya pilihan raya yang bebas dan adil diamalkan, kejayaan pasti dicapai 10 tahun lalu dan bukan pada 9 Mei 2018.
“Ketika demokrasi sedang berundur di seluruh dunia, saya berharap rakyat Malaysia memberikan harapan kepada semua orang di seluruh dunia yang masih mencari kebebasan mereka,” katanya.
Anwar turut menyatakan keyakinannya bahawa beliau mampu bekerjasama dengan Dr Mahathir - yang dahulunya sekutu kemudian menjadi musuh dan kini kembali menjadi sekutunya - dan menekankan bahawa perdana menteri amat mengambil berat tentang Malaysia dan rakyat Malaysia.
Beliau berkata bahawa kerjasama baru adalah penting untuk mengatasi sistem yang sangat teruk, korup yang menular dalam negara.
“Laluan ke hadapan pasti lebih mencabar untuk kita memberikan apa yang dijanjikan kepada rakyat,” katanya yang turut menyatakan bahawa tugas paling penting adalah “menghormati semua rakyat Malaysia, kemerdekaan badan kehakiman, kedaulatan undang-undang, media bebas dan pemisahan kuasa yang sepatutnya.”
Anwar dijadualkan bebas pada 8 Jun depan, namun Yang di-Pertuan Agong mempercepatkan pembebasannya dan menawarkan pengampunan diraja - yang memberi ruang untuknya kembali semula ke dunia politik. – 15 Mei, 2018.
Komen