Pengurusan 1MDB bertindak tanpa kelulusan lembaga pengarah, menurut laporan audit 


The Malaysian Insight

LAPORAN Jabatan Audit Negara ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendapati keseluruhan tadbir urus korporat dan kawalan dalaman “kurang daripada memuaskan”.

Ringkasan eksekutif laporan audit jabatan itu ke atas 1MDB, yang didedahkan hari ini, menunjukkan terdapat keputusan membabitkan pelaburan dibuat tanpa proses oleh pengurusan dan lembaga pengarah syarikat pelaburan itu.

“Antara 2009 dan 2015, beberapa keputusan pelaburan penting membabitkan jumlah yang besar dibuat menerusi resolusi bertulis lembaga pengarah tanpa sebarang perbincangan dan penilaian butiran yang terperinci.

“Beberapa pelaburan diputuskan menerusi notis pendek dan berisiko tinggi.

“Bagaimanapun, pada 19 Januari 2016 lembaga pengarah memaklumkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara bahawa perbincangan diadakan sebelum kelulusan diberi menerusi resolusi bertulis.”

Jabatan itu turut mendapati maklumat yang dibentangkan pengurusan 1MDB tidak lengkap atau tidak tepat kepada lembaga sebelum keputusan penting dibuat.

“Malah, adakalanya pengurusan mengambil tindakan tanpa kelulusan lembaga pengarah,” menurut laporan itu.

Juga terdapat situasi di mana pengurusan 1MDB membentangkan maklumat yang tidak tepat atau tidak berkorelasi dengan pihak berkepeentingan lain, menurut hasil penemuan jabatan berkenaan pada laporan audit itu.

“Dalam beberapa insiden membabitkan pelaburan, pengurusan 1MDB juga bertindak bertentangan atau tanpa merujuk sepenuhnya dengan keputusan yang dibuat oleh lembaga pengarah atau pemegang saham,” menurut laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, satu kelemahan adalah penyelenggaraan sistem fail dan simpanan rekod 1MDB.

Laporan audit 1MDB, yang diilhamkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak, diklasifikasikan sebagai “sulit” pada 22 Januari 2016. Ia dibentangkan kepada PAC pada 4 Mac tahun yang sama.

Dalam kenyataan hari ini, ketua audit negara Dr Madinah Mohamad, yang hadir pada pertemuan dengan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata laporan itu sudah diklasifikasikan sebagai dokuman bebas dan ringkasan eksekutifnya boleh diakses menerusi laman web www.audit.gov.my.

Membuka semula kertas siasatan 1MDB merupakan salah satu janji kempen utama Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum pada 9 Mei, yang memberi kemenangan kepada mereka.– 15 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen