Nazri alu-alukan Sarawak keluar Lembaga Pelancongan Malaysia


Nabihah Hamid

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz berkata penarikan diri Sarawak selaras dengan keputusannya Januari lalu yang mahu menutup lembaga kerana pertindihan kerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2017.

NAZRI Aziz mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri Sarawak hendak menarik diri daripada terlibat dalam Lembaga Pelancongan Malaysia.

Malah menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata ia selaras dengan keputusannya Januari lalu yang mahu menutup lembaga tersebut kerana pertindihan kerja selain mahu mengurangkan perbelanjaan kos pentadbiran.

“Saya mengalu-alukan keputusan dibuat ketua menteri Sarawak kerana pada Januari tahun ini, saya membuat keputusan untuk tutup pejabat pelancongan Malaysia di Kuching. 

“Ia atas alasan pertindihan kerja kerana sudah ada kementerian pelancongan dan kebudayaan Sarawak dan juga lembaga pelancongan Sarawak yang mempromosi pelancongan di sana.

“Jadi alasan mereka menarik diri pada hari ini daripada kementerian adalah selaras dengan keputusan yang saya buat lima bulan lalu,“katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Nazri berkata penarikan itu tidak memberi sebarang kesan malah akan melancarkan urusan kerja kementeriannya.

“Tidak ada kesan kerana sebenarnya pegawai saya di Sarawak pun sudah tidak banyak kerja kerana kerja promosi dilakukan Kementerian Pelancongan Sarawak.

“Peruntukan untuk kementerian saya juga sudah dipotong, jadi saya berusaha keras mengurangkan kos dan salah satu caranya ialah menutup pejabat yang berlaku pertindihan kerja,” katanya yang juga ahli Parlimen Padang Rengas.

Kerajaan negeri Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata ia menarik diri daripada terlibat dalam Lembaga Pelancongan Malaysia berkuat kuasa serta merta.

“Kerajaan negeri merasakan penglibatan wakilnya dalam Pelancongan Malaysia tidak diperlukan lagi kerana pertindihan peranan dan fungsi dalam Lembaga Promosi Pelancongan Sarawak,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan pejabat ketua menteri tengah hari tadi.

Bagaimanapun sebab-sebab penarikan tidak dinyatakan.

Sementara itu, Nazri berkata cukai pelancongan yang akan dilaksanakan 1 Julai ini tidak sepatutnya ditentang kerana ia keputusan bersama menteri.

“Penguatkuasaan cukai itu terpulang kepada keputusan menteri. Mereka yang buat keputusan bukan saya. Cukai pada 1 Julai atas arahan perdana menteri.

“Pelaksanaan itu langsung tidak ambil alih hak negeri Sarawak kerana dalam sistem kita, cukai hak kerajaan pusat dan kita panggil pun cukai pelancongan.

“Macam GST. Semua negeri kena bayar GST dan ia hak kerajaan Persekutuan,” katanya.

Cukai pelancongan ditentang Menteri pelancongan Sarawak Abdul Karim Hamzah.

Jumaat lalu, Karim berkata kerajaan negeri tidak dibawa berunding mengenai cukai pelancongan dan mendesak ia ditangguhkan.

Menerusi cukai baharu itu, semua penginapan hotel di seluruh negara akan dikenakan caj antara RM2.50 sehingga RM20 sehari.

Nazri yang membentangkan usul itu pada April berkata yang kerajaan bakal mengutip RM654.62 juta hasil cukai itu.

Malaysia menerima 26.8 juta pelancong pada 2016 dan daripada jumlah itu, Sarawak menerima 2.26 juta pelancong asing dan 2.4 juta pelancong tempatan dari Semenanjung dan Sabah, menurut data Jabatan Imigresen Sarawak. – 12 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen