KABINET kerajaan negeri pimpinan Warisan Sabah dijangka akan mengangkat sumpah di Istana Negeri esok.
Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal enggan mendedahkan barisan anggota Kabinetnya, namun sumber terdekat Jabatan Ketua Menteri memberitahu Malaysia Decides salah satu daripada tiga kuota Timbalan Ketua Menteri akan diberi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulabayan, Jaujan Sambokong.
Jaujan juga diketahui sebagai orang kepercayaan Shafie.
Dua lagi kuota itu mungkin akan diisi oleh PKR dan DAP, tetapi Shafie juga mungkin akan memilih adun Upko bagi mewakili kuota Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDM).
Kuota Cina pula berkemungkinan akan diisi sama ada DAP atau PKR.
“Buat masa sekarang, semuanya hanya spekulasi. Ketua menteri mungkin akan ubah fikiran pada saat akhir,” kata sumber tersebut.
Bagi kabinet Persekutuan, sumber itu turut berkata Shafie mungkin akan menamakan Ahli Parlimen penampang Darell Leiking dan Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau.
Shafie juga dijangka akan merombak kementerian dan membentuk dua kementerian baru di Sabah.
Setakat ini, hanya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Inovasi yang telah dinamakan Shafie.
Ketika pentadbiran Musa Aman, portfolio pendidikan terletak di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan, namun Shafie berkata ia kini akan diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Ini merupakan salah satu daripada 13 teras dalam tuntutan Warisan terhadap Kerajaan Persekutuan bagi mengembalikan hak negeri seperti yang termaktub daam Perjanjian Malaysia 1963. – 15 Mei, 2018.
Komen