Pertemuan bekas peguam negara dengan PM tamat selepas sejam


The Malaysian Insight

BEKAS peguam negara Abdul Gani Patail meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana sejam selepas pertemuan dengan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau dipanggil oleh pengerusi Pakatan Harapan itu ketika terdapat laporan yang akan mengesahkan bekas perdana menteri Najib Razak akan didakwa berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Gani Patail yang mengetuai siasatan ke atas syarikat pelaburan negara itu sebelum digugurkan, tiba kira-kira jam 3.30 petang dan dilihat meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana pada jam 4.50 petang.

Dr Mahathir juga dilaporkan yakin bahawa pendakwa raya mempunyai kes yang kuat untuk mendakwa Najib berhubung kes 1MDB.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, mereka melihat isu itu berdasarkan maklumat dan dokumen daripada pegawai kanan.

“Kami rasa dalam masa yang singkat kita akan ada kes terhadap beliau, kita akan dapat mendakwa beliau,” katanya ketika bercakap pada sidang video kepada Mesyuarat Majlis Ketua Pegawai Eksekutif The Wall Street Journal di Tokyo.

Dr Mahathir juga berkata bukan mudah untuk menyiasat beliau (Najib) kerana orang yang rapat dengannya akan cuba melindunginya.

“Mereka yang bersamanya dan menyebelahinya, kita tidak tahu siapa yang akan setia kepada kerajaan.”

Dr Mahathir juga berkata beliau tidak akan berunding dengan Najib walaupun ditawarkan untuk mengembalikan dana yang didakwa hilang daripada 1MDB.

Gani mengetuai pasukan khas untuk menyiasat skandal 1MDB apabila dipecat dari jawatan peguam negara dan digantikan oleh Mohamed Apandi Ali.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) melancarkan siasatan jenayah terhadap dana yang dikatakan disalurkan daripada 1MDB dan menangguhkan saman sivil yang difailkan dua tahun lalu untuk merampas lebih AS$1 bilion (RM4.3 bilion) hartanah dan aset lain.– 15 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen