PENGERUSI Bebas Bukan Eksekutif Utusan Melayu Mohamad Fatmi Che Salleh hari ini meletakkan jawatan bersama tiga lagi ahli lembaga pengarah, lapor Utusan Online.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad Mohd Noordin Abbas berkata kumpulan itu akan terus beroperasi seperti biasa sebagai syarikat media arus perdana yang melaporkan berita dengan adil dan penuh tanggungjawab.
Beliau juga berkata platform digital akan diberi penekanan selari dengan trend semasa.
Tiga ahli lembaga tersebut ialah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif iaitu Jamalul Kiram Mohd Zakaria, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad serta Mohd Yusof Bin Abu Othman.
“Peletakan jawatan ahli lembaga pengarah tersebut selaras dengan pelan penstrukturan semula Kumpulan Utusan,” kata Mohd Nordin.
Tengku Sariffuddin pernah bertugas sebagai setiausaha akhbar bekas perdana menteri Najib Razak.
Peletakan jawatan empat lembaga pengarah berkenaan susulan kekalahan Barisan Nasional dalam Piihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lalu. – 15 Mei, 2018.
Komen