AIRASIA menyangkal laporan polis yang dibuat oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) terhadap ketua pegawai eksekutif kumpulannya Tony Fernandes.
Tony dalam satu klip video Ahad lalu mendakwa Mavcom mengarahkan AirAsia untuk membatalkan 120 penerbangan tambahan yang dimohon untuk menerbangkan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke 14. Ia membawa kepada penafian Mavcom dan laporan polis.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat mempunyai bukti dan fakta, termasuk komunikasi langsung antara CEO AirAsia Malaysia Riad Asmat dan pengerusi eksekutif Mavcom Jeneral (B) Abdullah Ahmad.
“Kita akan nyatakan bukti dan fakta kepada pihak berkuasa berkenaan bila tiba masanya,” menurut kenyataan syarikat penerbangan itu sebagai maklum balas berkenaan laporan polis yang dibuat.
“Kita akan berikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam siasatan ini mengikut undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi kepentingan AirAsia, dan juga Tony Fernandes.”
Terdahulu, Mavcom berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada AirAsia untuk mengurangkan atau membatalkan sebarang penerbangan yang memenuhi syarat yang ditetapkan. – 15 Mei, 2018.
Komen