Tiada rundingan dengan Najib, kata Dr Mahathir


The Malaysian Insight

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan tiada sebarang perjanjian dengan Najib Razak dalam usaha untuk mendapatkan semula berbilion ringgit yang didakwa dicuri dar dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Wall Street Journal (WSJ) hari ini melaporkan Dr Mahathir dipetik berkata beliau menjangkakan dakwaan terhadap Najib akan difailkan susulan siasatan ke atas skandal 1MDB.

“Tiada rundingan,” kata Dr Mahathir melalui temu bual menerusi pautan video untuk Wall Street Journal CEO Council di Tokyo.

Beliau berkata sisasatan penuh akan dijalankan sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil ke atas Najib.

“Kami sedang dalam proses mendapatkan maklumat terperinci berkenaan perkara yang beliau sembunyikan ketika berkuasa dulu,” katanya.

Menurut laporan WSJ, Dr Mahathir berkata beliau menjangkakan untuk menjadi perdana menteri selama dua tahun.

Ahli politik berusia 92 tahun itu telah menyatakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu yang akan menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar Ibrahim selepas Ketua Umum PKR itu dibebaskan dari penjara.

Anwar, yang disabitkan atas kesalahan liwat, akan dibebaskan selepas diberi pengampunan diRaja.

Dalam laporan WSJ itu juga, Dr Mahathir dipetik berkata akan Anwar akan dibebaskan esok, namun beliau menambah Anwar buat masa ini dijangka akan berkhidmat sebagai ketua salah satu parti dalam Pakatan Harapan. – 15 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen