BARISAN Nasional (BN) dan Umno mungkin sudah tidak wujud lagi di Sabah, namun rancangan untuk menubuhkan Gabungan Bersatu yang terdiri daripada pengikut setia BN dan Sabah Star nampaknya akan ditangguhkan.
Ini disahkan sendiri oleh Setiausaha PBS Johnny Mositun kepada Malaysia Decides, yang berkata Pengerusi BN Sabah Musa Aman telah ke Kuala Lumpur bagi menyelesaikan beberapa hal penting sebelum langkah seterusnya dapat diambil.
“Segala perkara berkaitan penubuhan Gabungan akan dipertimbangkan, sehingga Musa balik dan membuat keputusan.
Penubuhan Gabungan Sabah itu sendiri akan mengambil masa kerana PBS perlu mengambil penyokong-penyokong Umno, Upko dan PBRS yang kini tiada parti menyertai PBS lantas menubuhkan PBS Plus.
Selepas itu, satu perjanjian antara “PBS Plus ” dan Sabah Star akan ditandatangani untuk menubuhkan Gabungan Sabah.
Menurut Presiden Sabah Star Dr Jeffrey Kitingan,langkah ini akan menyaksikan Umno tiada lagi di Sabah dan sebagai langkah mengurangkan pengaruh Semenanjung dalam politik serta hal-ehwal pentadbiran negeri itu.
Mositun berkata PBS bersedia untuk menerima ahli Umno, malahan beliau berkata keahlian Musa juga telah disediakan.
“Kem Musa” tetap dengan pendirian bahawa Musa masih Ketua Menteri Sabah yang sah selepas mengangkat sumpah pada 10 Mei lalu.
Pada 14 Mei, polis mengesahkan Musa telah terbang ke Kuala Lumpur pada 10 pagi, ketika Shafie Apdal melapor diri di pejabat Ketua Menteri di tingkat 23, Bangunan Pentadbiran Negeri Sabah di Likas.
Shafie kemudiannya membawa wakil-wakil rakyat ke kediaman rasmi ketua menteri, Sri Gaya.
Setiausaha akhbar Musa, Afeiza Khan telah berulang kali menegaskan bahawa ketuanya itu masih ketua menteri yang sah selepas mengangkat sumpaha pada 12 Mei lalu, dan berkta Musa akan membuat pengumuman tidak lama lagi.
Mositun juga berkata Presiden PBS Pairin Kitingan sekali lagi dikhianati dengan cara yang sama sehingga parti itu tumbang pada 1994.
“Semua parti KDM tidak pernah rapat sebelum PRU14. Ada juga desas-desus untuk bersatu di bawah PBS sekali lagi semasa konvensyen Upko, PBS adan PBRS.
“PBS sudah menjemput PBRS dan Upko ke konvensyen itu dan kami semakin bersemangat apabila Upko menjemput kami untuk membentuk majlis presiden.
“Tapi tengoklah di mana Upko dan PBRS berada sekarang. Upko membantah dan PBRS mahu menyertai Pakatan Harapan. Semua rancangan untuk membentuk majlis presiden habis musnah,” katanya.
Mositun berkata keadaan PBS juga tergantung ketika ini kerana ahli yang sentiasa tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti.
“Kami dipersalahkan kerana keluar BN pada 1994 dan menyertai Semangat 46. Apabila kami bersama BN semula, kami diminta supaya tinggalkannya kerana PBS dibawah pengaruh Umno Sabah.
“Dan sekarang berlaku krisis Perlembagaan, penyokong sekali lagi menyalahkan kepimpinan PBS kerana tidak tinggalkan BN seperti Upko,” katanya. – 15 Mei, 2018.
Komen