Gani Patail, Amar Singh bertemu Dr Mahathir berhubung 1MDB 


The Malaysian Insight

BEKAS peguam negara Abdul Gani Patail dipanggil untuk bertemu perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini selepas spekulasi memuncak bahawa Najib Razak akan didakwa di atas jenayah yang berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Gani sebelum ini mengetuai siasatan ke atas skandal 1MDB sebelum digugurkan oleh bekas perdana menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Amr Singh Ishar Singh turut dilihat tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Salah seorang anggota polis yang mengiringinya dilihat menolak sebuah beg troli yang dipercayai mengandungi dokumen berkaitan 1MDB.

The Star melaporkan hari ini bahawa Dr Mahathir yakin pendakwa raya akan membuktikan terdapat kes yang kuat untuk mendakwa Najib berhubung dakwaan penyelewengan membabitkan 1MDB.

Pengerusi Pakatan Harapan itu juga berkata mereka akan meneliti isu itu dengan malumat dan dokumen daripada pegawai kanan.

“Kami rasa dalam masa yang singkat kita akan ada kes terhadap beliau, kita akan dapat mendakwa beliau,” katanya ketika bercakap pada sidang video kepada Mesyuarat Majlis Ketua Pegawai Eksekutif The Wall Street Journal di Tokyo.

Dr Mahathir juga berkata bukan mudah untuk menyiasat beliau (Najib) kerana orang yang rapat dengannya akan cuba melindunginya.

“Mereka yang bersamanya dan menyebelahinya, kita tidak tahu siapa yang akan setia kepada kerajaan.”

Dr Mahathir juga berkata beliau tidak akan berunding dengan Najib walaupun ditawarkan untuk mengembalikan dana yang didakwa hilang daripada 1MDB.

Gani mengetuai pasukan khas untuk menyiasat skandal 1MDB apabila dipecat dari jawatan peguam negara dan digantikan oleh Mohamed Apandi Ali.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) melancarkan siasatan jenayah terhadap dana yang dikatakan disalurkan daripada 1MDB dan menangguhkan saman sivil yang difailkan dua tahun lalu untuk merampas lebih AS$1 bilion (RM4.3 bilion) hartanah dan aset lain.– 15 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen