TIMBALAN Perdana Menteri Malaysia Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi jaminan yang pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kelapan tidak akan berlaku dalam masa terdekat bagi membolehkan kerajaan yang bergerak di bawah Dr Mahathir Mohamad berjalan lancar sebelum berlaku sebarang perubahan kuasa.
“Seperti yang kami katakan semalam, kami mahu kerajaan di bawah Dr Mahathir berjalan dengan lancar dan melaksanakan perubahan yang kita mahu terlebih dahulu. Jadi pelantikan Anwar tidak akan dilakukan dengan tergesa-gesa,” katanya ketika ditemui di Hospital Rehabilitasi Cheras petang ini.
Dr Wan Azizah juga berkata beberapa kawan Anwar dari Jakarta datang melawat termasuk bekas menteri kesihatan Indonesia, Fahmi Idris.
Beliau berkata demikian bagi menjawab komen yang dibuat oleh Ketua Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin yang diterbitkan akhbar Singapura, The Straits Times.
Dalam artikel itu, Daim berkata ia adalah tindakan bodoh untuk menjadikan Anwar sebagai perdana menteri sebaik sahaja beliau kembali ke Parlimen kerana ia bukan masa yang sesuai bagi perubahan kepimpinan segera.
Beliau berkata rakyat tidak akan mempercayai Pakatan Harapan jika mereka melanggar janji kepada rakyat. – 15 Mei, 2018.
Komen