Raus jumpa Dr Mahathir


The Malaysian Insight

KETUA Hakim Negara Raus Shariff telah dipanggil bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, di tengah desas-desus mengatakan beliau bakal dipecat.

Raus yang menaiki Toyota Alphard Velfire, tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya pada 2.45 petang tadi.

Beliau terus ke pejabat Dr Mahathir tanpa sepatah kata kepada pihak media.

Lanjutan perkhidmatan Raus dan Zulkefli Ahmad Makinudin yang dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan telah mencetus kontroversi di kalangan pengamal undang-undang.

Para peguam membantah pelantikan Raus dan Zulkefli, malah Badan Peguam Malaysia menjalankan undi tidak percaya pada 3 Ogos tahun lalu, menggesa supaya pelantikan tersebut dicabar di mahkamah.

Pada Ogos tahun lalu juga, Dr Mahathir telah memohon perintah mahkamah untuk mengarahkan Najib Razak menyarankan Agong membatalkan pelantikan Raus sebagai hakim tambahan dan ketua hakim.

Dr Mahathir juga telah memulakan prosiding undang-undang bagi mencabar pelantikan Zulkefli sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Raus dilihat meninggalkan bangunan Yayasan Kepimpinan pada jam 4 petang. – 15 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen