SEBARANG langkah untuk memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) perlu disahkan Parlimen, kata jurucakap Majlis Penasihat Kerajaan, A. Kadir Jasin.
“Ia tak semudah itu (mansuh GST). Kita boleh mansuhkan GST tanpa menjejaskan kewangan kerajaan. (Bagaimanapun) Kita tidak boleh melakukannya semalaman kerana GST ini melalui akta Parlimen jadi kita harus merujuk Parlimen untuk menukar atau memansuhkannya,” kata Kadir di Hospital Pemulihan Cheras hari ini.
Beliau berada di sana untuk melawat Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.
Ramai pelawat - dari kenalan sejauh Indonesia hinggalah kepada penyokong setianya - dilihat menunggu giliran untuk melawat Anwar, yang dicalonkan Pakatan Harapan (PH) sebagai perdana menteri kelapan.
“Saya sudah dapat baju saya yang ditandatatangani Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan bakal perdana menteri, Anwar Ibrahim,” kata Din, salah seorang ahli kumpulan Reformasi 98, yang cukup setia menyokong Anwar dan PKr sejak 1998.
Anwar dijangka dibebaskan esok dan akan diberi pengampunan diRaja dari Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Pengampunan diRaja membolehkan Anwar kembali aktif dalam politik dan seterusnya dilantik sebagai perdana menteri kelapan. – 15 Mei, 2018.
Komen