Sokongan terhadap BN jatuh merudum, kata penganalisis AS


The Malaysian Insight

SOKONGAN terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Ray Umum Ke-14 (PRU14) jatuh merudum - baik di bandar mahupun di luar bandar, Melayu atau bukan Melayu - mencetuskan tsunami rakyat Malaysia sehingga gabungan itu tersungkur, menurut kajian.

Analisis kuantitatif keputusan PRU14 oleh pakar sains politik dari Amerika Syarikat (AS), Dr Tom Pepinsky menunjukkan sokongan terhadap BN di kalangan masyarakat luar bandar yang selama ini menjadi sandaran parti itu, juga jatuh.

“Rakyat Malaysia di luar bandar lebih menyokong BN berbanding yang berada di bandar pada 2018,” kata Pepinsky menerusi blognya, https://tompepinsky.com/2018/05/12/ge14-the-malaysian-tsunami-in-figures/.

“Namun, populasi Melayu tetap menjadi saham tetap undi BN,” kata profesor madya di Universiti Cornell, AS itu.

“Bezanya, sokongan kali ini lebih rendah dari apa yang diramalkan.”

PRU14 menyaksikan rekod yang dipegang BN sebagai parti politik paling lama memerintah di dunia lebur apabila hilang 54 daripada 133 kerusi Parlimen yang dimenanginya pada PRU13.

Malah tujuh negeri yang dipegangnya sebelum ini jatuh ke tangan PH. Hanya Perlis, Pahang dan Sarawak berjaya dikekalkan.

Kajian Pepinsky ini selari dengan penemuan para penganalisis Malaysia yang mengatakan penolakan ini disebabkan isu-isu seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan skandal rasuah yang membelit bekas perdana menteri Najib Razak.

Merdeka Centre mendapati gelombang anti BN pada saat-saat akhir menjelang PRU14 datang daripada penyokong tradisinya - penjawat awam dan  anggota keselamatan.

Di Putrajaya misalnya, yang mana 99% pengundinya adalah penjawat awam, BN hanya memperolehi 49.5% undi popular. Selebihnya beralih kepada PH (36.7%) dan PAS (14.8%), menurut dapatan Merdeka Centre.

“Terdapat peralihan undi saat akhir yang memberi manfaat kepada PH dan PAS,” kata Ibrahim Suffian.

Sentimen anti BN ini juga menyaksikan negeri-negeri di Pantai Barat, iaitu Johor dan Melaka yang selama ini menjadi kubu kuatnya, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah dirampas PH.

Menurut Ibrahim lagi, di Pantai Timur Semenanjung, gelombang anti BN ini memberi manfaat kepada PAS sehingga berjaya merampas semula Terengganu dan mengekalkan Kelantan dengan lebih banyak kerusi DUN. 

Berbalik kepada analisis Pepinsky, kajiannya menunjukkan penurunan dramatik terhadap calon-calon BN berlaku di kesemua negeri di Semenanjung termasuk Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, penurunan mendadak ini dapat dilihat di Kedah dan Selangor, malah di Perlis, Melaka, Negeri Sembilan dan Putrajaya. – 15 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen