MENTERI Pelancongan Sarawak Abdul Karim Hamzah berkata beliau tidak gentar meskipun dihina menteri sejawatan dari persekutuan berkaitan kritikannya mengenai cukai pelancongan.
“Terima kasih atas sokongan anda. Saya tidak akan gentar dengan kesombongan dan respons tidak beradab daripada menteri ini,” kata Karim menerusi mesej di WhatsApp.
“Saya percaya saya betul dalam meminta penangguhan pelaksanaan Cukai Pelancongan, yang dilaksanakan tanpa rundingan dengan negeri kita,” katanya.
Pada Jumaat, Karim berkata tiada rundingan dibuat bersama kerajaan negeri mengenai cukai pelancongan yang akan dilaksanakan bermula 1 Julai depan dan mendesak supaya ia ditangguhkan.
Semalam, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz menegur Karim kerana membantah cukai itu.
Nazri menggelar menteri Sarawak itu baru “setahun jagung” dan tidak patut berlagak seperti “samseng”.
Pemimpin negeri hari ini mengutuk komen Nazri.
Ketika dihubungi hari ini, Karim berkata beliau rasa semangat dengan sokongan yang diterima daripada masyarakat.
“Ia memberi semangat, tetapi ia bukan persoalan mencari populariti. Ramai orang marah dengan perkara ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Tidak elok menteri kanan panggil rakan sejawat perkataan seperti itu, terutama sekarang pada bulan Ramadan.
“Saya hanya beri pendapat yang perkara itu perlukan rundingan dengan kerajaan negeri dan ia bertentangan dengan Perjanjian Malaysia 1963. Saya tidak menjangkakan respons seumpama itu,” katanya yang juga Adun Asajaya.
Ketika ditanya mengenai kritikan pembangkang yang mengatakan ahli Parlimen Sarawak diam di Parlimen dan dalam Kabinet Persekutuan berhubung cukai itu, Karim berkata “jangan menangguk di air yang keruh”.
“DAP tidak sepatutnya ambil kesempatan atas apa yang berlaku kerana ia tidak ada kena mengena dengan mereka. Ini masalah keluarga dan kami akan selesaikan sebelum Raya. Saya harap dia (Nazri) tidak berdendam dengan saya.
“Jika kritikan daripada DAP Sarawak, mereka perlu tanya diri sendiri di mana mereka atau apa mereka buat ketika rang undang-undang (RUU) itu dibentangkan di Parlimen.
“Adakah mereka membantah? Jika tidak, jadi tidak perlu beritahu kami apa yang kami tidak buat dalam berkhidmat untuk Sarawak,” katanya.
RUU Cukai Pelancongan dibentangkan di Parlimen pada sesi persidangan maraton pada 5 April.
Ia RUU terakhir daripada enam RUU yang diluluskan dalam persidangan 20 jam – memecahkan rekod persidangan Parlimen dan Nazri membentangkannya kira-kira pada jam 5 pagi.
Semua penginapan hotel di seluruh negara akan dikenakan caj antara RM2.50 hingga RM20 sehari di bawah cukai baharu. Kerajaan berkata ia menjangkakan bakal mendapat perolehan RM655 juta daripada pelaksanaan itu. – 12 Jun, 2017.
Komen