Bersatu serah senarai nama untuk Kabinet


The Malaysian Insight

BERSATU menghantar senarai cadangan bagi jawatan menteri dan timbalan menteri kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin tidak memberitahu jumlah sebenar ahli Parlimen yang dicalonkan sebagai anggota Kabinet daripada senarai 13 anggota Dewan Rakyat mereka.

“Sebagai presiden Bersatu, saya telah kemukakan senarai cadangan ahli Parlimen daripada Bersatu yang akan mengepalai beberapa kementerian sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri.

“Kerana kita mempunyai 13 ahli Parlimen, tolak Tun (Dr Mahathir), tolak saya, tolak Mukhriz (Mahathir), jadi jumlahnya tidak besar,” kata beliau ketika ditemui media di hadapan Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Muhyiddin yang menghabiskan masa kira-kira sejam bertemu Dr Mahathir hari ini berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada perdana menteri dan mengharapkan agar pelaksanaan jemaah menteri dipercepatkan.

“Bagi saya adalah amat penting proses pembentukan jemaah menteri dapat disegerakan kerana kita dapat mandat yang besar dan mereka ingin melihat sama ada kerajaan ini mampu bekerja untuk rakyat atau sebaliknya,” kata beliau lagi.

Malaysia Decide turut difahamkan delegasi DAP yang diketuai Setiausaha Agung Lim Guan Eng yang bertemu Dr Mahathir pagi tadi turut menyerahkan senarai cadangan jemaah menteri mereka.

Delegasi DAP hadir kira-kira jam 9 pagi dan keluar sejam kemudian.

Ketua Audit Negara Madinah Mohamad turut hadir pada jam 10.30 pagi sebelum keluar hampir sejam kemudian.

Bagaimanapun mereka tidak mahu menjawab pertanyaan wartawan yang menunggu di hadapan pintu luar bangunan sejak awal pagi.

Seorang pegawai kemudiannya keluar pada jam 1.30 Petang memaklumkan sidang media perdana menteri hanya akan dibuat pada jam 2 petang esok.

Sebelum ini, Dr Mahathir mengumumkan Kabinet lengkap PH tidak akan melebihi 30 orang menteri.

Setakat ini hanya menteri kewangan, menteri dalam negeri dan menteri pertahanan diumumkan diisi oleh pemimpin tertinggi parti dalam PH. – 15 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen