Husam tersenarai dalam calon menteri Amanah


The Malaysian Insight

NAIB Presiden Amanah Husam Musa adalah antara tiga nama yang dihantar oleh parti itu untuk dilantik sebagai salah seorang daripada 10 menteri pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Husam yang kalah di Kota Bharu dijangka akan dilantik sebagai senator sebelum mengangkat sumpah sebagai menteri kabinet jika terpilih.

Beliau kalah kepada Setiausaha Agung PAS Takiyudin Hassan dalam usahanya untuk menawan Kota Bharu.

Selain Husam, turut dinamakan oleh Amanah adalah Timbalan Presidennya Salahudin Ayub dan Setiausaha Agung Mohd Anuar Tahir.

“Kini terserah kepada Dr Mahathir selaku Perdana Menteri untuk memilih kesemua mereka atau sekurang-kurangnya dua daripada mereka,” kata seorang pemimpin Amanah kepada Malaysia Decides.

Dr Mahathir telah memaklumkan, setiap parti telah diminta menghantar tiga nama untuk dipilih dalam 10 kabinet pertama beliau.

Tiga jawatan menteri kabinet telah diisi iaitu Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri manakala Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Dr Mahathir mengumumkan, kabinet beliau akan mempunyai 25 menteri, di mana 15 lagi menteri akan dilantik kemudian.

Ketika Amanah menghantar tiga nama, PKR telah menghantar 10 nama, kata Dr Mahathir dalam satu sidang medianya.

Malaysia Decides difahamkan, nama ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar tidak termasuk dalam senarai itu.

“Saya difahamkan nama Nurul tidak tersenarai kerana ibu beliau sudah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri,” kata satu sumber PKR. – 15 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen