Ahli Kabinet Sabah akan isytihar aset


The Malaysian Insight

AHLI Kabinet Sabah akan dijangka mengisytiharkan aset mereka bagi memastikan ketelusan, lapor The Star.

Ketua menteri yang baharu, Mohd Shafie Apdal berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada semua Adun daripada Parti Warisan Sabah dan rakan sekutu Upko, PKR dan DAP.

“Saya akan berjumpa dengan semua Adun di Seri Gaya (kediaman rasmi ketua menteri) untuk membincangkan, antara lain perkara berkenaan pengisytiharan aset.

“Saya tidak mahu menteri dan wakil rakyat ada konflik kepentingan,” katanya dipetik sebagai berkata oleh akhbar itu.

Antara perkara pertama yang Shafie lakukan pada hari pertama bekerja sebagai ketua menteri ialah membatalkan larangan masuk ke negeri itu terhadap pemimpin PKR iaitu Nurul Izzah Anwar dan Chua Tian Chang, atau lebih dikenali sebagai Tian Chua.

Jabatan Imigresen negeri melarang Nurul Izzah dan Tian Chua masuk ke negeri itu sejak November 2015 selepas usul khas diluluskan di DUN Sabah diketuai oleh ketua menteri BN Musa Aman.

Usul itu dibawa atas alasan kedua-dua pemimpin itu menyokong pencerobohan Sulu di Sabah pada 2013, yang turut dikenali sebagai serangan Lahad Datu, kerana mereka bertemu puteri Sulu, Jacel. H. Kiram. – 15 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen