BERSATU Perak hari ini berkata ia tidak akan menerima Jamaluddin Mohd Radzi, wakil rakyat yang membelot kepada Barisan Nasional (BN) pada 2009.
Jamaluddin adalah seorang daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Pakatan Rakyat, yang menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Perak yang dikuasai oleh pembangkang dengan menjadi wakil bebas yang menyokong BN.
Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata partinya Bersatu tidak akan menerima permohonan Jamaluddin untuk menjadi ahli.
“Sebagai ketua Pakatan Harapan (PH) Perak dan Bersatu, saya menghadiri majlis di Hotel Kinta Riverfront untuk mengalu-alukan Adun Sungai Manik Zainol Fadzi Paharuddin ke PH.
“Beliau adalah salah seorang yang menyokong PH selepas pilihan raya 9 Mei. Saya hadir di majlis itu untuk mengalu-alukan beliau dan orang lain yang memberi sokongan kepada Bersatu di Perak.
“Tetapi selepas sidang akhbar pada majlis itu, saya diberitahu tentang kehadiran Jamaluddin, yang merupakan salah seorang yang menyumbang kepada Krisis Perlembagaan Perak 2009.”
“Selepas mengambil kira pelbagai perkara, saya mengumumkan permohonannya untuk menyertai Bersatu ditolak tanpa rundingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Faizal berkata permohonan untuk menyertai PH terutamanya di Perak akan dipertimbangkan dengan ketat sehingga krisis yang sama tidak akan berlaku lagi.
Krisis 2009 bermula apabila wakil BN, Nasarudin Hashim membelot kepada PKR, yang menimbulkan kemarahan kepimpinan tertinggi BN. Pembelotan itu memberi harapan kepada pembangkang Pakatan Rakyat yang lebih ramai akan meninggalkan BN.
Tetapi tidak lama kemudian, wakil rakyat PKR dan DAP yang berpaling tadah - Jamaluddin, Mohd Osman Jailu dan Hee Yit Foong, menjadi calon bebas yang menyokong BN mendapatkan semula negeri itu.
Selepas hilang Perak kepada BN pada 2009 dan pada Pilihan Raya Umum 2013, PH akhirnya berjaya merampas semula negeri itu pada pilihan raya 9 Mei, memenangi 29 kerusi negeri berbanding 27 kerusi BN.
Untuk menguatkan majoritinya untuk membentuk kerajaan negeri, PH menerima sokongan Zainol dan seorang lagi wakil rakyat BN Adun Tualang Sekah, Nolee Radzi. BN memecat kedua-duanya kerana menyokong musuh. – 15 Mei, 2018.
Komen