Persatuan sivil bantah tindakan lompat parti masuk Pakatan


The Malaysian Insight

PERSATUAN sivil memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) supaya tidak menerima ahli politik yang melompat parti daripada Barisan Nasional (BN), berkata tindakan seumpama itu satu pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat.

Tidak sampai beberapa hari selepas kejatuhan bersejarah kerajaan BN di Putrajaya pada 9 Mei, beberapa wakil rakyat BN menyertai PH, yang diketuai oleh perdana menteri kali kedua memerintah, Dr Mahathir Mohamad.

Perbuatan melompat parti dilaporkan di negeri ditadbir BN sebelum ini seperti Johor, Perak dan Sabah. Di Sabah, perbuatan itu menyebabkan negeri itu ditawan PH.

Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) dalam satu kenyataan hari ini berkata ia melihat fenomena melompat parti dengan penuh rasa bimbang.

“Rakyat beri PH mandat untuk memerintah kerana mereka mahukan sesuatu yang bersih, berbeza daripada dulu.

“GBM menganggap penerimaan tanpa syarat daripada ahli Parlimen dan Adun memasuki PH sebagai pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat,” katanya.

Kumpulan itu berkata masyarakat sivil mengalu-alukan “persaingan pelbagai parti yang kompetitif pada PRU akan datang, berbanding hanya monopoli oleh satu saja gabungan”.

Katanya, pembangkang yang kuat dan boleh dipercayai juga diperlukan untuk periksa dan imbang dalam proses politik dan kedaulatan undang-undang.

“Pentadbiran baharu tidak sepatutnya mengecewakan pengundi dengan menerima mereka yang lompat dari BN atau dengan menafikan peruntukan kepada kawasan BN.

“GBM mendesak kepimpinan PH untuk mengambil kira kebimbangan rakyat tentang budaya lompat parti yang tidak sihat ini. Kami teruja menanti teraju politik baharu untuk PH melindungi nilai dan semangat demokrasi di Malaysia,” katanya.

Penolong Setiausaha Pemuda PKR Syed Badli Shah Syed Osman juga senada dan berkata pakatan pemerintah perlu berhati-hati dengan sindrom lompat parti, di mana ia akan membawa pergeseran antara wakil rakyat BN dan Umno.

Katanya, Umno dan BN berkuasa selama lebih 60 tahun dan kekalahan tiba-tiba ini menyebabkan pilihan melompat ke parti lain untuk duduk selesa menjadi penyelesaian paling mudah bagi mereka.

“Rakyat sudah pun memilih dan memutuskan siapa wakil rakyat mereka menerusi PRU. Mandat itu perlu dihormati dan bukan dikhianati.”

Syed Badli berkata jika PH menerima pembelot itu, perlu ada proses untuk menapis mereka, bukannya sekadar menerima dengan mudah.

“Kita patut mengukuhkan kerajaan PH untuk rakyat, yang sudah bersuara dan menolak rejim BN.

“Mari kita pastikan PH tidak menjadi tempat menghidupkan semula rejim yang ditolak oleh rakyat,” katanya. – 15 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen