Umno perlu berubah untuk lawan dua ‘gergasi’, kata Khairy


The Malaysian Insight

SELEPAS kehilangan kuasa buat pertama kalinya pada PRU14, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata parti itu dan Barisan Nasional (BN) perlu bersedia untuk menyusun semula parti untuk berdepan dengan “dua gergasi” dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Khairy yang juga ketua Pemuda BN berkata Dr Mahathir Mohamad dan ketua umum PKR Anwar Ibrahim akan menjadi dua kuasa yang menakutkan untuk ditandingi di Dewan Rakyat.

“Rakyat Malaysia sudah memilih dua gergasi untuk mengetuai kita; cabaran kita ialah memastikan kita boleh memainkan peranan periksa dan imbang terhadap kerajaan,” kata Khairy kepada Channel News Asia dalam satu temu bual.

“Saya hanya semut menentang dua gergasi itu, dan saya perlu memastikan saya boleh berfikir dan bergerak dengan cepat dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Anwar dijadualkan menerima pengampunan diraja dan akan dibebaskan dari penjara esok.

Sebahagian daripada rancangan PH ialah untuk melantik Anwar ke Parlimen bagi menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Khairy berkata BN kini perlu belajar jadi kuat dan pembangkang yang boleh dipercayai dalam Parlimen, dan untuk itu, mereka perlu melakukan perubahan struktur bagi mencerminkan perubahan aspirasi rakyat.

“Kami perlu pertimbangkan semua pilihan dengan serius. Model apa yang kami mahu? Melayu bersatu atau rakyat Malaysia bersatu? Apa DNA kami, apa tujuan kewujudan kami?,” kata bekas menteri belia dan sukan itu.

“Persoalan ini perlu ditanya; kita tidak boleh tetap dalam model apa yang kita ambil,” katanya.

BN hanya menang 78 daripada 122 kerusi Parlimen pada PRU14, pencapaian terburuknya selepas enam dekad memerintah negara sejak selepas merdeka.

Khairy berkata Umno dan BN perlu memastikan 78 ahli Parlimennya, termasuk 54 wakil rakyat Umno, perlu diperkukuhkan.

Katanya, parti itu juga perlu mencari jalan mempertahankan dirinya daripada dibatalkan pendaftaran kerana gagal mengadakan pemilihan parti. – 15 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen