Pakatan perlu atasi kekurangan pendapatan selepas mansuh GST, kata laporan


The Malaysian Insight

JANJI Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang tidak popular dalam masa 100 hari selepas berkuasa akan mengakibatkan kesan gelombang kepada ekonomi akibat kehilangan hasil pendapatan, sehingga kerajaan baru mencari sumber pendapatan lain, menurut Bloomberg.

GST pada kadar 6% pada masa ini membawa pendapatan yang sangat diperlukan berbanding dengan cukai jualan sebelum ini, dan menyumbang 18.3% daripada hasil keseluruhan tahun ini, menurut anggaran awal Kementerian Kewangan.

Pemansuhan cukai akan menyebabkan kekurangan pendapatan yang besar dan pergantungan terhadap hasil minyak, kata laporan itu.

Sebagai negara pengeluar minyak bersih, Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak mentah global baru-baru ini, yang sepatutnya mengimbangi kerugian dalam pendapatan. Tetapi pergantungan lebih besar terhadap pendapatan berkaitan petroleum akan menjadikan belanjawan lebih terdedah kepada perubahan harga minyak.

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau merancang mengembalikan levi jualan dan perkhidmatan, yang beliau percaya akan memberikan hasil kerajaan mencukupi bersama-sama dengan usaha mengurangkan pembaziran perbelanjaan dan menghapuskan mahal oleh kerajaan sebelumnya.

Bagaimanapun, Mohamed Faiz Nagutha, seorang pakar ekonomi di Bank of America Merrill Lynch, memberitahu Bloomberg yang cukai jualan dan perkhidmatan lama akan menghasilkan hampir separuh daripada pendapatan yang diperoleh daripada GST.

GST berbeza dengan cukai jualan kerana ia dikenakan pada semua peringkat rantaian bekalan – pengilang dan pembekal turut membayar cukai ke atas barangan yang dihasilkan, bukan hanya pengguna.

Ia juga dikenakan pada kadar sama rata berbanding kadar berubah-ubah bagi cukai jualan. Justeru, ia lebih mudah diuruskan dan dianggap lebih cekap.

Di samping itu, ahli ekonomi percaya pemasuhan GST akan memberi rangsangan kepada perbelanjaan pengguna, memberikan sokongan yang sangat diperlukan untuk ekonomi.

Pengenalan GST pada April 2015 menyebabkan kenaikan inflasi naik kepada 4.2% pada awal tahun berikutnya. – 15 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen